Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Tiada siapa terlepas dari radar Agong, termasuk SPRM
Diterbitkan:  Feb 16, 2026 1:48 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini memberi amaran bahawa tidak akan ada kompromi dengan kegiatan rasuah dan mengingatkan lebih ramai lagi sedang berada dalam ‘radar’ baginda.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Sultan Ibrahim memberitahu kegiatan rasuah adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan rakyat, justeru ia tidak boleh diterima sama sekali.

Baginda juga mengingatkan usaha membasmi rasuah tidak terhad kepada jabatan tertentu saja, atau hanya melibatkan pemberi dan penerima semata-mata.

Sultan Ibrahim juga memetik beberapa agensi penguat kuasa negara.

“Berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak kira apa jua pangkat anda… Begitu juga ejen-ejen yang menjadi orang tengah selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan… anda juga dalam radar,” titah baginda.

Kenyataan itu hadir ketika pelbagai pihak membangkitkan rasa tidak senang mereka terhadap isu rasuah negara termasuk yang terkini melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Tukar tanpa lengah jika perlu

Semalam sekumpulan pengkritik – termasuk ahli parlimen kerajaan – berhimpun di tengah Kuala Lumpur dalam protes Tangkap Azam Baki 2.0. Peserta turut menyasarkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai sasaran kritikan.

Azam sebelum ini menafikan dia terlibat dalam sebarang salah laku atau salah guna kuasa, malah berjanji memberikan kerjasama penuh kepada pihak yang menjalankan siasatan ke atas isu tersebut.

Sultan Ibrahim bertitah pihak yang berkenaan diingatkan agar berhati-hati dan tidak menyangka baginda tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan rasuah.

Titah baginda, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada siapa pun boleh terlepas daripada undang-undang.

“Bah kata pepatah siapa makan cili, dia terasa pedas. Jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa.

“Saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Sultan Ibrahim.

Pada masa sama baginda bertitah, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain.

“Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS