Masalah kewangan dipercayai punca seorang lelaki bertindak mengelar empat ahli keluarga sebelum membunuh dirinya dalam kejadian di Taman Cherating Damai, Kuantan, Pahang, pagi tadi.
Suspek berusia 32 tahun itu dikatakan baru berhenti kerja di Selangor kira-kira sebulan lalu, sebelum berpindah balik ke Kuantan.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, suspek dilaporkan baru seminggu memulakan kerja di tempat baru di sekitar bandar raya Kuantan.
"Motif kita dalam siasatan, mungkin masalah kewangan... (setakat ini) tiada (rekod mental) dan itu semua masih dalam siasatan lanjut," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia menjelaskan, suspek bersama isterinya yang berusia 28 tahun dan dua anak perempuan mereka - masing-masing berumur tiga dan empat tahun - berada dalam satu bilik, manakala mayat seorang lagi mangsa dipercayai ibu suspek berusia 55 tahun ditemui di luar bilik berkenaan.
"Semua mangsa mempunyai kesan kelar dan kita akan menunggu keputusan pemeriksaan oleh pihak patologi untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya.
Ditanya lanjut mengenai kejadian menyayat hati itu, Yahaya memaklumkan ketika kejadian adik suspek berusia 15 tahun berada dalam rumah berkenaan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kalau ikutkan maklumat awal, rumah ini didiami lapan ahli keluarga dan ketika kejadian ada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dalam rumah berkenaan.
"Dia yang menyedari kejadian ini selepas terdengar bunyi bising sebelum menemui mayat ahli keluarganya itu. Dia kemudian keluar meminta pertolongan daripada jiran yang menghubungi pihak polis," jelasnya.
Yahaya turut memberitahu pihaknya menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Difahamkan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk proses bedah siasat.
