Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
11 ketua bahagian Bersatu Johor letak jawatan

Sebelas ketua bahagian Bersatu di Johor hari ini mengumumkan peletakan jawatan susulan krisis kepimpinan yang didakwa berlarutan dan gagal ditangani secara berhemah oleh pucuk pimpinan parti.

Bahagian terlibat ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.

Ketua Bahagian Pontian Isa Ab Hamid yang mewakili semua ketua bahagian berkenaan berkata peletakan jawatan mereka secara tidak langsung menyebabkan semua bahagian terbabit terbubar.

“Krisis kepimpinan yang berlarutan termasuk pemecatan pemimpin kanan dan ahli parlimen menyebabkan hala tuju parti semakin kabur serta kepercayaan ahli dan pengundi terhakis,” katanya pada sidang media di Kluang, hari ini.

Dia berkata ketua bahagian Mersing dan Labis telah menghantar surat peletakan jawatan rasmi kepada Setiausaha Agung parti, Mohamed Azmin Ali, manakala bahagian lain dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Isa berkata ketidakupayaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Johor Sahruddin Jamal menyatupadukan ketua bahagian dan akar umbi menjejaskan keyakinan mereka untuk terus memegang jawatan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.

Sementara itu, bekas ketua Bersatu Johor Bahru Zulkifli Bujang berkata kumpulan tersebut tidak akan bergerak secara individu dan sebarang keputusan selepas ini akan dibuat secara konsensus sekiranya menerima tawaran daripada parti lain.

Sebelum ini, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), antaranya empat ahli parlimen dan dua Adun, atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti. Mereka masih berhak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Setakat ini, 22 bahagian Bersatu telah dibubarkan di seluruh negara susulan krisis kepimpinan parti itu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS