Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu tidak ketandusan pemimpin - Tun Faisal
Diterbitkan:  Feb 19, 2026 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata parti itu tidak ketandusan pemimpin walaupun ramai daripada mereka dipecat atau meletak jawatan baru-baru ini.

Tun Faisal dalam satu kenyataan berkata, pemimpin bahagian yang bermasalah kerana menyokong bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, mempunyai barisan pengganti yang mampu meneruskan perjuangan parti.

"Insya-Allah, bagi setiap bahagian yang bermasalah akibat penyokong mereka, akan ada pemimpin lain yang akan mengambil alih. Parti ini tidak ketandusan pemimpin.

"Masih ada timbalan ketua bahagian, jika tiada, masih ada naib ketua bahagian dan ahli jawatankuasa,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, memecat Hamzah serta 16 pemimpin lain termasuk ahli parlimen dan Adunnya gagal meredakan perpecahan dalam parti itu apabila ia disusuli peletakan jawatan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun Tun Faisal berkata, ketiadaan kumpulan penyokong Hamzah akan membuka ruang kepada yang lain untuk meneruskan perjuangan parti itu.

"Dengan ketiadaan Geng SD dan Hamzah, ia akan membuka ruang kepada ramai daripada dalam yang mahu ke hadapan berjuang untuk parti, dan ia juga akan membuka ruang kepada mereka dari luar yang ingin bersama dengan Bersatu.

"Selagi duri dalam daging ada, selagi ada api dalam sekam, agak sukar untuk kita ke hadapan. Alhamdulillah, golongan jahat dan khianat ini sudah tiada,” katanya.

Istilah ‘Geng SD’ merujuk kepada dakwaan bahawa Hamzah sebelum ini terbabit dalam gerakan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) lebih 120 ketua bahagian untuk mendesak perubahan kepimpinan parti itu.

Selepas dipecat, penyokong Hamzah mendakwa 26 jawatankuasa bahagian telah dibubarkan setakat semalam, bersama beberapa sayap lain iaitu Pemuda Bersatu, Srikandi dan Srikandi Muda.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, menafikan pembubaran mana-mana bahagian, dengan menegaskan bahawa jawatankuasa bahagian tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan diri kerana kuasa tersebut terletak sepenuhnya pada Majlis Pimpinan Tertinggi.

Tun Faisal, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, berkata keputusan memecat Hamzah dibuat oleh Lembaga Disiplin selaras dengan Fasal 22 Perlembagaan parti serta Kod Etikanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS