Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru seluruh kariah di negeri itu agar menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup dan berdaya saing.
Baginda turut mengingatkan umat Islam bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina yang megah pada pandangan mata, tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah.
“Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhuwah sesama kita.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda bersempena dengan perasmian Masjid Kampung Teluk Gading di Rompin semalam, dan dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam supaya tidak sesekali menjadikan masjid sebagai hak eksklusif mana-mana kelompok sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat berasa terpinggir atau tidak didekati.
“Pastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya,” titah baginda.
- Bernama
