GLOBAL | Presiden Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang menamatkan kutipan duti ad valorem tambahan ke atas beberapa perintah eksekutif terdahulu bagi menangani keselamatan negara, ketidakseimbangan perdagangan dan ancaman luar, lapor Anadolu Ajansi.
"Memandangkan perkembangan terkini, duti ad valorem tambahan yang dikenakan menurut IEEPA (Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa) tidak lagi berkuat kuasa, dan secepat yang mungkin, tidak lagi akan dikutip," menurut Rumah Putih.
Perintah eksekutif itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif diperkenalkan Trump.
Dalam keputusan 6-3 itu, mahkamah menyatakan Trump melampaui kuasanya sebagai presiden apabila mengenakan tarif menyeluruh menggunakan undang-undang yang dikhaskan untuk darurat negara.
Menurut perintah itu, semua jabatan dan agensi yang terlibat diarahkan mengambil langkah segera bagi menghentikan kutipan duti tambahan tersebut, dengan pengubahsuaian kepada Jadual Tarif Harmoni akan dilakukan mengikut keperluan.
Perintah itu menjelaskan bahawa langkah perdagangan lain yang baru diperkenalkan, termasuk surcaj import sementara pada 20 Feb dan penggantungan layanan de minimis tanpa duti, kekal berkuat kuasa.
Rumah Putih menekankan tindakan tersebut hanya menamatkan duti ad valorem khusus di bawah IEEPA dan tidak mengubah tarif yang dikenakan di bawah bidang kuasa perdagangan lain, termasuk Seksyen 232 Akta Peluasan Perdagangan atau Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
- Bernama/Anadolu
