Kongres khas DAP pada 12 Julai depan adalah sebahagian daripada proses dalaman parti itu untuk memastikan ketetapan organisasi dipatuhi, kata jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, DAP telah memaklumkan lebih awal tentang penganjuran kongres berkenaan.
“Ini adalah proses dalaman bagi DAP untuk pastikan keputusan yang dicapai dituruti dalam parti mereka.
“Itu adalah proses bagi DAP dalam membuat keputusan,” katanya kepada media selepas merasmikan program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan atau sebaliknya.
Loke turut memaklumkan 40 ahli parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Sementara itu, Fahmi berkata fokus utama kerajaan di bawah pimpinan Anwar ketika ini adalah memperkukuh ekonomi negara dan mempertingkat reformasi institusi.
Katanya, ia termasuk usaha menggubal rang undang-undang (RUU) berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Turut diberi penekanan ialah RUU mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri yang dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
“Hasrat kita adalah untuk pastikan Malaysia berada di kedudukan yang terbaik pada tahun ini, insya-Allah.
"Saya percaya usaha kerajaan Madani ini berada di landasan yang tepat dan semua parti komponen memahami usaha dan ikhtiar, termasuk rakan-rakan dari DAP,” katanya.
- Bernama
