Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indonesia tak bayar AS$1 bilion untuk sertai Lembaga Keamanan Trump

Indonesia mengesahkan bahawa negara itu tidak membayar sumbangan sebanyak AS$1 bilion untuk menyertai Lembaga Keamanan (BOP) dan menegaskan jumlah berkenaan bukanlah yuran wajib untuk keanggotaan.

Menteri Luar Sugiono berkata Indonesia kini sudah menjadi ahli lembaga itu dan penyertaan tidak bergantung kepada sebarang sumbangan kewangan tetap.

“Sejak awal saya katakan bahawa ini bukan yuran keanggotaan. Ia bukan syarat untuk menjadi ahli, tidak. Kami sudah menjadi ahli sekarang; walaupun kami tidak membayar, itu tidak mengapa,” katanya dalam sidang media di Washington, Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat waktu tempatan.

Rakaman video sidang media itu dimuat naik di saluran YouTube Sekretariat Presiden pada Sabtu.

Sugiono menjelaskan bahawa angka AS$1 bilion itu pernah dibincangkan berkaitan dengan status tetap dalam lembaga berkenaan, namun menegaskan bahawa ia bukanlah satu keperluan atau syarat wajib untuk keanggotaan.

“Sesetengah negara menyumbang wang, ada yang menyumbang pasukan tentera… dan ada yang menghantar sumbangan individu ke sebuah akaun di Bank Dunia,” katanya.

Semasa mesyuarat pertama BOP di Washington, Presiden Prabowo Subianto menegaskan komitmen Indonesia untuk menyumbang sehingga 8,000 tentera atau lebih jika perlu, untuk mengambil bahagian secara aktif dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, Palestin.

Mengenai penempatan tentera, Sugiono berkata kos untuk menghantar tentera itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Indonesia.

Dia berkata, jemputan kepada Indonesia untuk berkhidmat sebagai seorang daripada  timbalan komander ISF adalah satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap rekod negara serta reputasi tentera Indonesia dalam pelbagai misi pengaman.

Katanya, jawatan itu akan memudahkan koordinasi dan keberkesanan operasi dalam misi berkenaan.

Sugiono juga mencatatkan bahawa kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), Ali Shaath, di mesyuarat BOP memastikan wakil Palestin mengetahui dan menerima rancangan untuk menempatkan anggota Indonesia dalam ISF.

Dia berharap penyertaan Indonesia dalam ISF akan membantu memenuhi seruan Ali Shaath semasa mesyuarat untuk mengekalkan gencatan senjata dan memastikan keadaan yang selamat dan stabil sepanjang proses pemulihan di Semenanjung Gaza.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS