Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled ajak ahli, pemimpin Bersatu kembali kepada Umno

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli dan pemimpin Bersatu untuk kembali demi memperkukuh dan memperkuat perpaduan orang Melayu.

Mohamed Khaled berkata sebagai pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, dia berbesar hati menerima permohonan mereka selain menegaskan tiada keperluan untuk sebuah lagi parti baru diwujudkan.

“Kembalilah kepada Umno. Orang Melayu ini saya harap kita boleh balik dalam satu wadah kerana tidak menguntungkan Melayu jika kita terus berpecah.

“Kita perlu bersama-sama dalam satu wadah untuk kita memperjuangkan Melayu dan memastikan Melayu terus kuat berhadapan pelbagai cabaran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan Kembali ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang, di Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled berkata walaupun ada pihak berpandangan ketika ini adalah masa yang sesuai untuk PRU atau PRN diadakan, namun perkara itu terpulang pada kepimpinan parti untuk menilai serta menimbang semua faktor sebelum mengambil keputusan.

Dia yang juga Menteri Pertahanan berkata kemelut dalaman Bersatu jelas menggambarkan bagaimana rapuhnya parti serpihan Umno itu dan keadaan tersebut menjejaskan kestabilan PN.

Hal itu katanya sekaligus menimbulkan persoalan terhadap tahap keyakinan yang boleh diletakkan rakyat kepada parti berkenaan.

Dia berkata situasi itu juga memberikan gambaran bahawa isu perebutan jawatan lebih penting berbanding perjuangan menangani keperluan serta cabaran dihadapi rakyat.

Sebelum ini, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin tertinggi termasuk empat ahli parlimen dan dua Adun kerana melanggar perlembagaan parti. Mereka masih berhak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Semalam, media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno Ahmad Maslan memaklumkan ahli Bersatu yang ingin kembali menyertai Umno tidak boleh diterima secara terus oleh bahagian, sebaliknya permohonan mereka perlu dibawa ke MT terlebih dahulu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS