Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno: DAP boleh keluar kerajaan sekarang, tak perlu tunggu Julai
Diterbitkan:  Feb 21, 2026 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Veteran Umno hari ini berkata DAP boleh sahaja keluar daripada kerajaan sekarang, tanpa perlu menunggu keputusan kongres khas parti itu pada Julai ini.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub berkata pihaknya mengalu-alukan tindakan DAP untuk menilai semula kedudukannya dalam kerajaan, namun menggesa parti itu untuk bertindak segera.

Dia berkata kepimpinan DAP tidak wajar “bermain sendiwara dan berdrama” dengan ahlinya, tetapi menunjukkan yang mereka bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk dalam PRN Sabah yang lalu.

“Veteran Umno yakin DAP mempunyai prinsip dan bermaruah. Adalah amat memalukan sekiranya DAP tidak menunaikan kata-katanya. Kata mesti dikotakan. 

“Kepimpinan DAP misti membuktikan yang mereka bertanggungjawab atas kekalahan itu dan perlu keluar dari barisan kabinet…Veteran menyarankan supaya DAP mengambil tindakan segera untuk keluar dari kerajaan tanpa perlu dibawa ke sidang khas Julai nanti,” kata Mustapha dalam kenyataan.

Semalam, Setiausaha agung DAP, Anthony Loke berkata parti itu akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai ini, di mana perwakilan akan menentukan jika pemegang jawatan daripada parti itu harus melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.

Menurut Sin Chew Daily, Loke berkata perhimpunan itu adalah “referendum” dalaman, sambil menegaskan walaupun jika ahli memilih untuk menarik diri daripada jawatan eksekutif, 40 ahli Parlimen DAP masih akan menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sehingga PRU akan datang.

Walaupun pendapat awam boleh mempengaruhi penilaian perwakilan parti, ahli sendiri yang mesti menentukan "hala tuju akhir" parti, katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS