Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan Exco Terengganu disyaki salah guna kuasa
Diterbitkan:  Feb 22, 2026 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang exco kerajaan negeri pagi ini kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM, suspek yang tidak didedahkan namanya, dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan kedua-dua anaknya untuk diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan di negeri itu.

"Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira jam 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020," menurut kenyataan itu.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut. Menruutnya kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

Seksyen berkenaan adalah berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan oleh pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara, atau sekutu. Hukuman bagi kesalahan ini ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Besar Terengganu untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS