Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Terima kasih Rafizi, terbukti Anwar fitnah PN terima dana judi
Diterbitkan:  Feb 22, 2026 2:44 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

PAS mengucapkan penghargaan kepada bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, kerana membersihkan nama PN daripada tuduhan menerima dana judi.

Ia susulan rakaman podcast terbaru Rafizi pada Jumaat lalu, yang menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memalukan PH kerana membuat tuduhan tanpa bukti.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pengakuan daripada bekas "orang kanan" Anwar itu akhirnya meletakkan PN dan parti komponennya di pihak yang benar.

"Terima kasih Datuk Seri Rafizi Ramli yang akhirnya mengesahkan bahawa dakwaan Perikatan Nasional terima dana judi ialah satu fitnah semata-mata oleh Perdana Menteri sendiri.

"Betapa ia diheret begitu meluas ke seluruh negara ketika ia mula dilontarkan selepas PRU15 yang lalu dan diratib semahu-mahunya oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan.

“Nah sekarang, di mana mahu disembunyikan muka untuk menahan malu?" tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada 5 Dis 2022, Anwar, yang baru beberapa hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, mengadakan sidang media di Putrajaya di mana beliau membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dalam cabutan khas.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan tersebut dan "bersumpah demi Allah" bahawa mereka tidak "menerima walau satu sen pun sumbangan daripada mana-mana syarikat judi hanya kerana mahukan wang".

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian melancarkan siasatan mengenai perkara itu, namun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Tuduhan tanpa bukti

Pada Jumaat lalu, Rafizi mendakwa siasatan SPRM terhadapnya berhubung dakwaan salah laku "hanya bertujuan mewujudkan persepsi" terhadapnya dan percaya ia tidak akan membawa kepada pertuduhan di mahkamah.

Bekas menteri ekonomi itu menyamakan situasi itu dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap PN sebelum ini mengenai dana perjudian.

"Malu kita, Anwar Ibrahim pergi buat ucapan kata ada bukti PN dapat duit judi. Saya tak tahu siapa beritahu dia. Mungkin Tengku Zafrul la kot sebab dia menteri kewangan yang bertanggungjawab masa tu. Dia pun tak pernah tanya kita.

“Kita ingatkan ada buktilah.

“Lepas seminggu jadi sebulan, lepas sebulan jadi setahun - ingat tak- senyap macam tu saja. Menuduh orang mengambil duit judi ni sebenarnya benda yang besar.

“Jadi, kalau tengok memang banyak tuduhan yang dibuat tetapi tidak ada bukti," kata Rafizi.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Anwar mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan terhadap PN atau pemimpinnya tanpa bukti sokongan.

Pada 5 Ogos tahun lalu, Anwar mendakwa di Parlimen bahawa Muhyiddin mempertahankan pemberian subsidi bahan api kepada warga asing dengan alasan mereka juga menyumbang kepada negara.

Dia malah menyelar seorang ahli parlimen pembangkang kerana didakwanya tidak menyedari kenyataan dikeluarkan pengerusi PN tersebut.

Selepas Muhyiddin menafikan perkara itu, Anwar kemudiannya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan.

MCMC kemudian memaklumkan suruhanjaya itu sedang menyiasat sebuah video TikTok yang mendakwa Muhyiddin telah membuat kenyataan seperti didakwa Anwar.

Semakan Malaysiakini bagaimanapun mendapati cara penyampaian maklumat dalam video itu adalah serupa dengan gaya penyebaran tajuk palsu di media sosial.

Anwar mengakui di Parlimen bahawa salah satu sumber maklumat yang dirujuknya adalah palsu, namun dia mendakwa terdapat dua lagi sumber lain yang akan disahkan oleh MCMC.

Anwar berkata dia hanya akan memohon maaf sekiranya MCMC mendapati tiada sumber yang sah.

Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan terkini mengenai hasil siasatan MCMC itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS