Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Apa benda bayar tarif dua kali ganda? - Zafrul sekolahkan Rafizi
Diterbitkan:  Feb 23, 2026 11:04 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menolak dakwaan bahawa Malaysia membayar tarif hampir dua kali ganda berbanding negara lain kepada Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dimeterai pada 26 Oktober, 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Zafrul berkata tarif 19 peratus sebelum ini dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi berkuat kuasa selepas keputusan oleh Mahkamah Agung AS pada Sabtu lepas (21 Februari).

“Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni?

“Bila Mahkamah Agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia pun...dah tak jadilah,” katanya menerusi hantaran di media sosial X hari ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu turut mempertahankan pendekatan Malaysia memeterai Perjanjian ART dengan AS pada Oktober tahun lepas sebagai langkah berjaga-jaga dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.

Beliau mengibaratkan tindakan itu seperti mengambil insurans perjalanan sebelum melancong ke luar negara.

“Orang selalu fikir, takkan jadi apa-apa. Tetapi apabila masuk hospital di luar negara dan bil mencecah puluhan ribu ringgit. Waktu itu barulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting. Kita sediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu Malaysia memilih untuk bertindak awal dan tidak menunggu sehingga proses mahkamah di AS selesai kerana kelewatan boleh menyebabkan negara terpaksa berunding dalam keadaan kurang menguntungkan.

“Dalam perdagangan global hari ini, siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal. Pendekatan proaktif memberi kepastian (keyakinan) kepada industri tempatan serta melindungi pekerjaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil langkah sedemikian, Kesatuan Eropah, United Kingdom, Japan, South Korea dan terbaharu jiran serantau, Indonesia turut mencapai persefahaman dengan Washington (Rumah Putih).

“Ini bukan soal siapa paling kuat bercakap. Ini soal siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negara,” kata Tengku Zafrul.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS