Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP k'jaan gesa Putrajaya dedah langkah, proses ratifikasi ART

Putrajaya digesa supaya mendedahkan sepenuhnya langkah-langkah dan proses ratifikasi yang dicadang untuk laksanakan berhubung perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan AS.

Perkara itu disuarakan empat wakil rakyat PKR iaitu Wing Chen (Subang), Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dalam kenyataan bersama.

Mereka turut menggesa kerajaan menggantung serta-merta semua langkah dan proses ratifikasi ART memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS yang mendapati semua tarif tersebut sebagai sah.

Justeru kata ahli parlimen terbabit, ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio (sejak awal).

"Kami menggesa kerajaan mengarahkan serta-merta Pejabat Peguam Negara untuk mengeluarkan suatu pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan Mahkamah Agung AS dan membentangkan pendapat undang-undang tersebut kepada ahli-ahli Parlimen,” kata mereka.

Ahli parlimen terbabit turut mendesak agar kerajaan memaklumkan implikasi kos-manfaat berhubung tarif global Trump sebanyak 15 peratus yang baru diumumkan, dengan mengambil maklum bahawa ia hanya terpakai selama 150 hari.

Keadaan itu juga, kata mereka, mungkin tertakluk kepada satu lagi perbicaraan di Mahkamah Agung AS.

Satu lagi desakan mereka ialah agar kerajaan memaklumkan ahli parlimen mengenai semua perkembangan berkaitan potensi pemulangan semula tarif berjumlah berbilion dolar, dan memastikan bahawa mana-mana pengeksport Malaysia yang telah diminta untuk menanggung dan membayar sebahagian daripada tarif tersebut turut menerima pemulangan.

Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu membatalkan sebahagian besar tarif diperkenalkan Trump sebelum ini.

Hakim berpendapat Trump selaku Presiden tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang negara berkenaan untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.

Trump kemudian dilapor berkata dia akan mengenakan tarif baru sebanyak 10 peratus terhadap negara di seluruh dunia di bawah kuasa barunya.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung isu berkenaan pada Jumaat ini.

Sementara itu keempat-empat ahli parlimen itu turut menasihatkan Anwar supaya lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen ketika berhasrat melawat Trump di Washington pada bulan-bulan akan datang.

Antara lain, kata mereka, Anwar perlu cermat khususnya jika melibatkan sebarang langkah menandatangani perjanjian perdagangan atau terma lanjut yang boleh terus menjejaskan kepentingan dan kedaulatan Malaysia.

"Kami juga mengulangi pendirian bahawa suatu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang bebas mengenai ART ditubuhkan secepat mungkin untuk menyiasat bagaimana ia dirunding dan ditandatangani," kata mereka lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS