Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aset agensi persekutuan cecah RM2.838 trilion, PR1MA antara 'liabiliti tinggi'
Diterbitkan:  Feb 23, 2026 3:19 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

LAPORAN AUDIT l Kedudukan aset bagi 143 daripada 145 agensi persekutuan meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM2.838 trilion pada tahun 2024 berbanding dengan RM2.690 trilion pada tahun sebelumnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut laporan tersebut, berdasarkan analisis penyata kewangan agensi persekutuan bagi tahun 2024, liabiliti bagi 143 agensi berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada RM0.871 trilion daripada RM0.870 trilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.

“Analisis audit terhadap perbandingan antara jumlah aset dengan jumlah liabiliti agensi persekutuan bagi tahun 2024 mendapati bahawa sebanyak 139 daripada 143 agensi persekutuan (97.2 peratus) mempunyai jumlah aset yang lebih tinggi berbanding dengan jumlah liabiliti, manakala empat agensi menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding dengan jumlah aset,” menurut laporan itu.

Antara empat agensi dengan liabiliti yang mengatasi jumlah aset termasuklah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan liabiliti bersih sebanyak RM747.16 juta akibat obligasi Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk) yang perlu diselesaikan menjelang tahun 2031, dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan liabiliti bersih berjumlah RM353.28 juta berikutan Dana Pembangunan Lebuh Raya yang belum dibelanjakan serta baki pinjaman kerajaan yang belum diselesaikan.

Selain itu, pada tahun 2024, sebanyak 100 daripada 143 agensi persekutuan menerima geran berjumlah RM30.490 bilion, yang merangkumi RM16.609 bilion bagi geran mengurus dan RM13.881 bilion bagi geran pembangunan.

Lima agensi yang menerima geran tertinggi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12.339 bilion daripada RM30.490 bilion pada tahun 2024 ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Mengikut laporan itu, bagi tempoh yang sama, sebanyak 84 daripada 143 agensi persekutuan menerima geran pembangunan berjumlah RM13.881 bilion yang direkodkan dalam liabiliti masing-masing.

“Setakat 31 Disember 2024, sebanyak 92 agensi persekutuan, termasuk lapan agensi yang tidak menerima geran tersebut pada tahun 2024, mencatatkan baki geran pembangunan terkumpul sebagai liabiliti berjumlah RM15.241 bilion.

“Analisis lanjut terhadap baki geran pembangunan terkumpul mendapati bahawa lima agensi persekutuan mempunyai baki geran pembangunan tertinggi dengan nilai keseluruhan RM4.684 bilion daripada keseluruhan baki berjumlah RM15.241 bilion,” jelas laporan itu lagi.

Agensi berkenaan ialah MARA, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), LPP, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Secara keseluruhannya, agensi persekutuan telah menggunakan geran mengurus untuk perbelanjaan operasi pada tahun semasa dan geran pembangunan untuk melaksanakan obligasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, terdapat baki geran pembangunan pada akhir tahun 2024 disebabkan oleh obligasi pelaksanaan yang belum diselesaikan sepenuhnya dan dalam proses pemulangan semula atau kegunaan tujuan lain tertakluk pada kelulusan Kementerian Kewangan,” menurut laporan itu.

Selain itu, sebanyak 21 daripada 143 agensi persekutuan mempunyai pinjaman berjumlah RM130.188 bilion pada tahun 2024, dengan enam daripada 21 agensi tersebut membuat pinjaman baharu berjumlah RM8.099 bilion pada tahun yang sama daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.

Agensi berkenaan ialah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Bank Simpanan Nasional (BSN), PR1MA, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa lima daripada 21 agensi persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi, iaitu RM121.542 bilion (93.4 peratus) berbanding dengan jumlah keseluruhan pinjaman yang berjumlah RM130.188 bilion.

“Dua daripadanya, iaitu FELDA dan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.663 bilion,” menurut laporan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS