Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gempa bumi kuat: 'Wake up call' untuk Sabah ambil serius mitigasi bencana

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang berlaku kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat tengah malam tadi tidak mencetuskan ancaman tsunami dan tiada kerosakan, namun pakar menyifatkannya sebagai peringatan bahawa Sabah kekal aktif secara seismik.

Pakar bencana geologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Rodeano Roslee berkata gempa bumi itu merupakan satu amaran awal atau wake-up call untuk Sabah, terutamanya penduduk di Kudat, supaya lebih serius dalam menghadapi mitigasi dan persediaan bencana.

Rodeano yang juga Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS berkata kejadian itu menyusul selepas beberapa dekad rekod seismik di Kudat dan mengukuhkan lagi kepentingan memahami risiko sebenar dihadapi penduduk di pantai barat dan utara negeri itu.

“Kejadian ini menjadi peringatan bahawa bahaya seismik Sabah bukan sekadar sejarah, tetapi ia berterusan, Kudat kekal berada dalam zon berisiko sederhana, gempa bumi dalam dan sederhana besar boleh berlaku tanpa tanda awal.

“Kesiapsiagaan awam, garis panduan pembinaan dan pendidikan bencana juga perlu dipertingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa gempa bumi itu, yang melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam, tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Pusat gempa tersebut terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

Rodeano berkata gempa bumi itu merupakan sebahagian daripada pola kegempaan zon Wadati-Benioff yang dalam di bawah Borneo Utara.

Menurutnya, kejadian gempa dalam yang serupa telah direkodkan sebelum ini di kawasan sama termasuk di luar pesisir utara barat laut Kota Kinabalu pada 2 April 2023 dan di timur laut Ranau pada 3 Ogos 2019.

“Ketiga-tiga gempa bumi ini berlaku pada kedalaman melebihi 600 km dan tertumpu dalam satu zon geografi yang terhad di bawah Sabah Utara.

“Taburan ini menunjukkan perubahan bentuk berterusan dalam satu kepingan litosfera laut yang tersubduksi pada kedalaman zon peralihan mantel,” katanya.

Sementara itu, Rodeano berpendapat langkah mitigasi serta kesiapsiagaan perlu segera dilakukan bagi mengurangkan impak kejadian akan datang antara lain dengan mengelakkan pembinaan di cerun curam dan tanah lembut.

Beliau turut mencadangkan supaya menggunakan bahan ringan dan elastic seperti kayu dan keluli manakala bangunan kritikal perlu mampu menahan Intensiti Mercalli VII (±0.2g).

“Selain itu, jalankan latihan evakuasi berkala di sekolah, pejabat dan bangunan tinggi selain mewujudkan pusat maklumat gempa daerah serta penanda laluan keselamatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS