Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dakwaan suapan jawatan buat dua anak: Exco Terengganu mohon dibicarakan
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 9:47 AM
Dikemaskini: 3:38 AM
1

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas dua tuduhan menggunakan kedudukan untuk kepentingan ahli keluarganya pada tahun 2018 dan 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai yang berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa sebagai pegawai badan awam, iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi seorang anak lelakinya. Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Epic Berhad di Pangkalan Bekalan Kemaman, dekat Teluk Kalong di Kemaman pada 15 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama bagi seorang lagi anak lelakinya pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.

Pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Ia membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan, iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat Sprm terdekat setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Fadly Hashim memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai dua isteri dan 13 orang anak, selain memikul tanggungjawab besar terhadap keluarga serta masyarakat selaku wakil rakyat.

Mohd Fadly juga memohon supaya pasport antarabangsa anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan Hanafiah mempunyai keluarga yang besar. Tambahnya, sebagai seorang Adun, tertuduh perlu sentiasa berada di tanah air, sekali gus tidak mempunyai ruang untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat Sprm setiap bulan.

Hakim juga memutuskan Hanafiah tidak perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, namun pihak pendakwaan boleh mengemukakan permohonan semula jika tertuduh gagal mematuhi syarat melapor diri.

Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai anggota Exco kerajaan negeri serta pengerusi lembaga pengarah sebuah syarikat bagi mengarahkan kedua-dua anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS