Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nama calon Trump bagi duta AS ke Malaysia digugurkan
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 7:09 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Pengulas konservatif Australia-Amerika, Nick Adams digugurkan sebagai calon untuk Duta Besar AS ke Malaysia yang seterusnya, selepas pencalonannya yang tertangguh gagal dimajukan ke Senat AS.

Pencalonan itu luput tanpa didengar di Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, menurut rekod di laman web Senat, dan ia dihantar kembali kepada presiden pada 3 Januari mengikut prosedur.

Nama Adams juga tidak disenaraikan dalam senarai panjang pencalonan yang dihantar semula ke Senat AS dalam tempoh dua bulan yang lalu, lapor Sydney Morning Herald.

Apabila ditanya mengenai perkembangan itu, dia dilaporkan memberitahu akhbar Australia bahawa dia sedang "dinaikkan pangkat" ke peranan baru.

"Saya telah dinaikkan pangkat daripada peranan duta! Butiran lanjut mengenainya akan datang minggu hadapan. Saya pasti anda akan melihatnya jika anda sedang menantikannya," katanya dipetik sebagai berkata.

Presiden AS Donald Trump telah mencalonkan Adams pada Julai tahun lepas untuk jawatan duta itu.

Dia dijadualkan untuk menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat kerjaya veteran yang dicalonkan untuk jawatan itu oleh Presiden AS sebelum ini, Joe Biden pada Mei 2023. Kagan telah bersara daripada Perkhidmatan Luar AS pada 15 Februari.

Setakat ini, tiada sesiapa yang dicalonkan untuk menggantikan Kagan selepas pencalonan Adams tamat tempoh.

Menggelar dirinya sebagai "lelaki alfa", Adams dikenali ramai kerana memupuk persona dalam talian yang agresif yang dibina di sekitar paparan maskuliniti yang keterlaluan dan politik konservatif yang tegar.

Dia juga sebelum ini telah dikritik secara meluas kerana membuat kenyataan Islamofobia, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil Malaysia dan pemerhati politik tentang kesesuaiannya untuk mewakili Washington di negara majoriti Muslim.

Kebimbangan sedemikian memuncak dengan protes di luar Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada 18 Julai tahun lepas untuk menentang pencalonannya.

Adams, yang juga seorang Zionis sebelum ini telah menyiarkan tentang bersemuka dengan seorang pelayan yang memakai pin "Free Palestin" dan kemudian bermegah bahawa pekerja itu telah dipecat.

Insiden itu telah diketengahkan oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, sekali gus mencetuskan perdebatan di peringkat tempatan sama ada Adams merupakan pilihan yang sesuai untuk jawatan duta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS