Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri membuka kemungkinan bahawa Najib Razak boleh menjadi perdana menteri sekali lagi, walaupun hanya untuk tempoh singkat.

Menerusi pindaan Perlembagaan yang dicadangkan semalam -yang kerajaan mahu dilaksanakan secara retrospektif - seseorang perdana menteri boleh berkhidmat maksimum 10 tahun, sama ada secara berterusan atau tidak.

Tempoh 10 tahun ini tidak termasuk masa seseorang berkhidmat sebagai perdana menteri caretaker (sementara) selepas Parlimen dibubarkan.

Najib mengangkat sumpah pada 3 April 2009 dan berkhidmat sebagai perdana menteri selama 8 tahun, 11 bulan dan 1 hari apabila diambil kira pengecualian tempohnya sebagai perdana menteri caretaker.

Ini bermakna jika dia dipilih semula ke Parlimen pada masa hadapan, Najib boleh menjadi perdana menteri untuk tempoh setahun dan 29 hari lagi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC dan telah dijatuhi hukuman tambahan 11 tahun penjara bagi kes rasuah 1MDB.

Bekas banduan tidak dibenarkan bertanding pilihan raya selama lima tahun selepas tamat hukuman, oleh itu kemungkinan Najib, 72, kembali ke Perdana Putra adalah rendah.

Namun Umno sedang berkempen supaya bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan penuh, yang boleh mempercepatkan kembalinya dia ke persada politik.

Selain Najib, bekas perdana menteri lain yang masih layak berkhidmat jika had tempoh perkhidmatan ini dilaksanakan ialah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin pernah menjadi perdana menteri selama 533 hari dan oleh itu masih layak untuk kembali berkhidmat bagi tempoh 8 tahun, 6 bulan dan 15 hari.

Sementara itu, Ismail Sabri, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 415 hari, masih boleh menyandang jawatan itu selama 8 tahun dan 11 bulan.

Namun, populariti kedua-dua pemimpin itu kini semakin pudar.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada Disember lalu ekoran ancaman daripada PAS, dan kini menghadapi krisis dalam partinya, Bersatu.

Sementara itu, Ismail Sabri — walaupun masih ahli Parlimen — kini kurang berpengaruh dalam politik selepas BN mencatatkan prestasi buruk di bawah kepimpinannya pada pilihan raya.

Bagi perdana menteri sekarang, Anwar Ibrahim — dia telah berkhidmat lebih tiga tahun dan 3 bulan hari ini (Rabu), bermakna masih mempunyai baki 7 tahun dan 9 bulan untuk berkhidmat lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS