Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen tumpaskan sindiket visa palsu, pasangan warga Bangladesh dipenjara 45 bulan

Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) menumpaskan sindiket pemalsuan visa antarabangsa dikenali sebagai 'David Lawrence' dalam serbuan di sebuah kediaman di Sungai Besi pada 10 Feb lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Marina Habibon berkata sindiket yang didalangi pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu, dipercayai aktif sejak lapan bulan lepas dengan menawarkan visa palsu ke negara-negara Eropah pada kadar mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh, dengan dokumen dihantar ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan untuk perjalanan ke Eropah.

"Dalam serbuan itu, pihak kami merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen yang disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Marina berkata dua individu terbabit didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin lepas dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan sebelum dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM112,000.

Bagaimanapun, selepas gagal membayar denda, kedua-duanya diperintahkan menjalani hukuman penjara 45 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS