Ketua whip PN Takiyuddin Hassan berkata Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat buat masa ini.
Menurutnya, tiada makluman rasmi dikemukakan kepada Parlimen mengenai sebarang perubahan bagi jawatan tersebut.
Takiyuddin berkata dia telah bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini untuk membincangkan soal itu dan merujuk kepada kenyataan awal Johari mengenai status Hamzah.
“Setakat ini Hamzah masih ketua pembangkang. Dia (Johari) setuju dan saya pun (setuju). Setakat ini kedudukannya begitulah,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
“Tiada apa-apa notifikasi daripada pembangkang mengenai kedudukan ketua pembangkang kita,” katanya lagi.

Dia berkata aturan tempat duduk di Dewan Rakyat juga tidak berubah.
Hamzah, yang mendakwa mendapat “sokongan majoriti” daripada anggota Parlimen Bersatu dan yang telah dipeca daripada parti itu, tidak hadir pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun dalam sidang media itu, Takiyuddin turut disertai anggota Parlimen yang sehaluan dengan Hamzah serta beberapa anggota Parlimen PAS.
Dengan sidang Dewan Rakyat kali ini hanya berbaki dua hari, Takiyuddin berkata PN kemungkinan besar tidak akan membuat sebarang keputusan segera.
“Masa begitu singkat. Kita akan bincang (selepas ini), masa panjang lagi.
“Jadi kita tiada apa-apa keputusan lagi,” katanya.
Selain Bersatu, bahagian pembangkang turut merangkumi 43 anggota Parlimen PAS, seorang daripada Muda, dan enam bekas anggota Bersatu yang dipecat pada Jun 2024 kerana tidak membuat ikrar sokongan kepada parti.
