Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP kutuk insiden pijak al-Quran, gesa reda ketegangan
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Seorang wakil rakyat DAP hari ini menggesa Putrajaya melaksanakan program intervensi serta dialog antara agama bagi menangani peningkatan ketegangan agama kebelakangan ini.

Ia susulan insiden terbaru membabitkan seorang pelajar universiti yang didakwa memuat naik di media sosial gambar al-Quran dipijak.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dalam kenyataan mengecam tindakan pelajar itu dan menekankan kepentingan melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Api kebencian bakar negara

"Saya juga menggesa supaya pihak Kerajaan, terutama sekali Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan untuk bersama-sama merangka program untuk memperbanyakkan aktiviti di kalangan anak muda pelbagai bangsa dan agama.

"Saya juga menyeru supaya suatu perjumpaan di adakan di kalangan wakil-wakil agama untuk meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini,” katanya.

Syahredzan menegaskan rasa saling menghormati serta semangat kebersamaan perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda Malaysia agar insiden seumpama itu tidak berulang.

“Hanya dengan keamanan, barulah kita boleh terus mengecapi kemakmuran.

“Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara,” katanya lagi.

Semalam, polis menahan seorang pelajar universiti di Pahang bagi membantu siasatan berhubung hantaran media sosialnya yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Individu itu turut didakwa memuat naik gambar serta komen menghina Nabi Muhammad.

Menurut polis, pelajar berkenaan disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Selain insiden itu, negara turut menyaksikan peningkatan ketegangan antara umat Islam dan Hindu berhubung isu dakwaan pencerobohan kuil di tanah persendirian serta awam.

Ia menyaksikan sekumpulan aktivis Muslim ditahan polis dua minggu lalu selepas mereka mula merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang, Selangor di atas tanah milik sebuah NGO.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS