Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS mahu Samsuri jadi poster boy PN hadapi PRU16

Pemuda PAS mencadangkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang kini dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diangkat sebagai “poster boy” gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata cadangan tersebut berasas memandangkan kepimpinan PAS telah bersetuju mencalonkan Samsuri bagi menerajui PN.

"Kalau tanya saya, saya setuju beliau jadi 'poster boy'," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai kemungkinan Samsuri akan dinamakan sebagai poster boy.

Afnan turut berpandangan pelantikan Samsuri sebagai wajah utama gabungan itu berpotensi mendapat penerimaan semua parti komponen PN.

"Memandangkan nama YAB Dr Sam (Samsuri) memang dikemukakan oleh PAS dan diterima di dalam mesyuarat PN, saya yakin semua pihak boleh bersetuju," tambah Afnan lagi.

Pada 22 Feb lalu, Majlis Tertinggi PN melantik Samsuri yang juga naib presiden PAS sebagai pengerusi baru gabungan tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani presiden parti-parti komponen PN, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

“Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli-ahli Majlis Tertinggi PN, termasuk empat Presiden Parti-parti Anggota iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Presiden BERSATU), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Datuk Dr Dominic Lau (Presiden Gerakan) dan P Punithan (Presiden MIPP).

"Agenda mesyuarat yang utama adalah untuk meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 dan melantik Pengerusi PN yang baru," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, tidak pasti Bersatu masih mengekalkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 jika menang PRU16 sebagaimana usul yang diluluskan perhimpunan agung tahunan parti itu pada September tahun lalu.

Setiausaha Agungnya Azmin Ali berkata perhimpunan itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan ahli parlimen Pagoh tersebut sebagai presiden Bersatu.

"Perwakilan bertekad untuk terus bekerja kuat di lapangan dan meningkatkan kemahiran jentera pilihan raya," katanya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS