GLOBAL | Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Tehran dan Washington “semakin hampir mencapai persetujuan” mengenai beberapa isu, dan kesungguhan jelas ditunjukkan oleh kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada pemberita selepas berakhirnya pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung dengan AS di Geneva, Araghchi berkata kesungguhan antara kedua-dua pihak “lebih ketara berbanding sebelum ini.”
Dia berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan teknikal akan memulakan perbincangan dan semakan di Vienna mulai Isnin ini.
Satu lagi pusingan rundingan, katanya, akan diadakan dalam tempoh kurang seminggu.
Araghchi – yang mengetuai delegasi Iran ke rundingan itu – berkata pada Khamis dia menyaksikan antara “pusingan paling serius dan paling panjang” dalam rundingan, sambil menambah kehadiran ketua agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi, “membantu dari sudut teknikal.”
Katanya isu Majlis Keselamatan PBB dan sekatan AS adalah antara tuntutan Tehran dan dipersetujui bahawa perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci minggu depan.
Diplomat terbabit menambah dalam aspek pelonggaran sekatan, Iran telah “menggariskan dengan jelas” tuntutan khusus mereka.
Araghchi berkata terdapat persetujuan mengenai “kebanyakan elemen” dalam potensi perjanjian serta cara ia ditangani, namun ia memerlukan “perbincangan terperinci dan teknikal.”
Atas sebab itu, katanya, Tehran memutuskan pakarnya akan mengadakan mesyuarat dengan agensi nuklear PBB pada Isnin depan bagi membincangkan beberapa aspek teknikal tertentu.
Selepas itu katanya barulah keputusan akan dibuat dalam mesyuarat di peringkat politik.
Pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan AS di Geneva pada Khamis di bawah pengantaraan Oman merupakan yang paling lama daripada tiga pusingan rundingan yang diadakan setakat ini.
Rundingan itu dibahagikan kepada dua sesi sebelum dan selepas rehat, ketika kedua-dua pihak berunding dengan ibu negara masing-masing.
Menteri Luar Oman Badr al-Busaidi yang bertindak sebagai pengantara melaporkan, terdapat “kemajuan signifikan” dalam rundingan tersebut.
“Kami akan menyambung semula tidak lama lagi selepas perundingan di ibu negara masing-masing.
“Perbincangan di peringkat teknikal akan berlangsung minggu depan di Vienna. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas usaha mereka: para perunding, IAEA, dan kerajaan Switzerland sebagai tuan rumah,” katanya menerusi platform media sosial X.
- Bernama/Anadolu
