Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong gering akibat kesakitan otot dan tulang, majlis rasmi ditangguhkan
Diterbitkan:  Feb 27, 2026 12:08 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal yang melibatkan bahagian otot dan tulang belakang serta pinggul.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda kini sedang menjalani rawatan susulan dan proses pemulihan bagi menangani kesakitan tersebut.

"Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.

“Disebabkan keadaan kesihatan tersebut, Sultan Ibrahim tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, serta Ketua Perwakilan Asing yang berlangsung di Istana Negara, kelmarin,” kata kenyataan itu.

Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Sultan Ibrahim yang dijadualkan semalam juga telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

Kenyataan itu turut menambah bahawa Sultan Ibrahim menzahirkan titah untuk kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja tahap kesihatan baginda kembali pulih.

Pada 22 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan Seri Paduka Baginda menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan muskulosletal di luar negara.

Menurut Istana Negara, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menitipkan doa dan ucapan kesejahteraan buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Mendoakan semoga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dikurniakan keafiatan berpanjangan serta terus sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan inayah Allah SWT,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS