Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini berdepan dengan tarikh akhir untuk menjelaskan hasratnya bertanding pada PRU16 bukan dengan tiket PKR, selepas dia diberi surat tunjuk sebab berhubung kenyataan itu.
Menurut laporan Bernama semalam, Setiausaha agung PKR Fuziah Salleh berkata Rafizi ada tempoh sehingga hari ini untuk menjawab surat itu.
“Dia kata akan bertanding PRU16 bukan atas tiket PKR, ia mungkin menimbulkan persepsi sama ada dia berhasrat untuk keluar daripada parti.
“Jadi surat tunjuk sebab itu bagi peluang dia menjelaskan… sebab kami tidak mahu ambil tindakan begitu sahaja, sebaik-baiknya kami ikut perlembagaan parti,” katanya.
Fuziah juga berkata PKR tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu mendengar penjelasan daripada bekas timbalan presidennya itu.
“Pada 1 Mac ini, kami akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, keputusan terhadap Rafizi pula, Insya-Allah… tengok macam mana,” katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi Rafizi untuk mendapatkan responsnya dan sedang menunggu jawapan.
Kian menjauh daripada PKR
Pada Khamis lalu, Rafizi mendakwa PKR sedang cuba menekannya agar meninggalkan parti itu agar dia tersingkir sebagai ahli Parlimen.
Jelas Rafizi, dia menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang menuduhnya mengisytiharkan keluar daripada parti apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam PRU akan datang bukan di bawah tiket PKR.
Bagaimanapun, katanya lagi, dia kekal sebagai ahli PKR selagi belum menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi atau menyertai mana-mana parti lain.
Rafizi dilihat semakin menjauh daripada PKR selepas tewas di tangan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tahun lalu.
Dia kini dilihat sebagai pengkritik paling lantang terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim.
