Paling Popular
Terkini

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa Pemimipin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei telah "terkorban", lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataannya di platform Truth Social itu dibuat selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

"Ini bukan sahaja keadilan untuk rakyat Iran, tetapi untuk semua warga Amerika yang hebat, dan mereka dari banyak negara di seluruh dunia...," kata Trump.

Trump tidak menyatakan sumber maklumatnya.

“Dia tidak dapat mengelak daripada perisikan dan sistem penjejakan kami yang sangat canggih dan, dengan kerjasama erat dengan Israel, tiada apa yang dia, atau pemimpin lain yang telah terbunuh bersamanya, boleh lakukan," kata Trump.

Trump menambah bahawa ini adalah "peluang tunggal terbesar" untuk rakyat Iran mengambil semula negara mereka.

Dia menyatakan bahawa operasi ketenteraan AS, termasuk "pengeboman berat dan tepat," akan diteruskan "selagi perlu" untuk mencapai objektif keselamatan serantau yang lebih luas.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmail Baghaei sebelum ini berkata bahawa Khamenei dan Presiden Masoud Pezeshkian berada dalam keadaan selamat, sekali gus menolak dakwaan bahawa mereka telah menjadi sasaran dalam serangan terbaru.

Baghaei berkata bahawa kedua-duanya "selamat dan sihat" dalam satu temu bual dengan ABC News Live, lapor Xinhua.

Baghaei memberi jaminan bahawa sistem di Iran berfungsi "kerana sistem kami sangat canggih, berakar dalam identiti kami dan berasaskan revolusi rakyat."

Dia berkata kepimpinan Iran tidak hanya berasaskan kepada seorang individu semata-mata, sambil menambah, "semuanya sedang dilakukan mengikut perancangan kami, dan angkatan tentera kami sedang menjalankan tindakan mempertahankan diri terhadap tindakan pencerobohan ini yang telah berlarutan sepanjang hari."

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS