Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR gantung jawatan Fahmi Zainol, Rafizi kekal ahli
Diterbitkan:  Mar 1, 2026 10:43 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

PKR menggantung serta-merta semua jawatan parti yang disandang Fahmi Zainol susulan pendakwaan mahkamah yang dihadapinya.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini selepas membincangkan kedudukan Fahmi yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, MPP telah memutuskan bahawa Fahmi digantung segala jawatan parti sehingga kes mahkamah terhadapnya diputuskan.

"Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya akan mengutuskan surat kepada YAB Ketua Menteri dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 27 Feb lepas, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, minggu lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Dalam perkembangan lain, MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

"Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti, dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti," kata Fuziah.

Selain itu Fuziah berkata mesyuarat MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat esok bagi mengecam serangan Israel dan sekutunya ke atas Iran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS