Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idea BN mesti tanding lebih separuh kerusi dah tak relevan – Salleh Keruak
Diterbitkan:  Mar 2, 2026 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Idea lama bahawa BN harus bertanding separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen dilihat sudah tidak relevan.

Menurut Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak, formula itu lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini.

Sebaliknya, bekas ketua menteri Sabah itu berkata, politik hari ini berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik.

“Idea lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Formula itu lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini.

“Politik hari ini berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik. Kekuatan bukan diukur melalui jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi keupayaan membentuk kerajaan yang stabil.

“Pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal. Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi sudah tidak lagi menjadi pilihan utama,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir berkata BN melihat keperluan melakukan penjenamaan semula sebagai sebuah gabungan lebih progresif dan inklusif.

Perkara itu diputuskan pada pemukiman tertutup kepimpinan BN yang berlangsung di kediaman rasmi Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, Putrajaya kelmarin.

Menurut sumber Malaysiakini yang turut serta dalam sesi pemukiman tersebut memaklumkan Ahmad Zahid menzahirkan untuk BN bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada PRU16 bagi memastikan gabungan itu kembali menerajui kerajaan pusat.

BN mengalami kemerosotan sejak beberapa pilihan raya lalu dan terburuk pada PRU15 apabila hanya meraih 30 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Salleh menyifatkan penekanan Zambry terhadap penjenamaan semula BN sebagai tepat pada masanya dan menunjukkan kesedaran bahawa landskap politik telah berubah.

Katanya, penjenamaan tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi dan budaya politik.

Menurutnya, dalam masa sama, pembaharuan BN mesti menumpukan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan kemampuan bekerjasama.

“Pendekatan bergerak sendirian bukan strategi yang sesuai dalam suasana politik semasa,” katanya.

Tambahnya, penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi, daripada mengejar angka kepada memberi hasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS