Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar hina al-Quran: Tindakan ikut peraturan universiti

Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina dan mencemarkan al-Quran akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelbagai pihak menggesa agar pelajar berkenaan dibuang dari universiti, dan kementeriannya tidak berkompromomi terhadap tindakan pelajar terbabit.

Beliau berkata pihak pentadbiran universiti juga telah bertindak pantas dengan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

"Soal tindakan yang dilakukan oleh pelajar berkenaan kita tidak boleh kompromi kerana ia terletak di bawah perkara yang berkaitan dengan undang-undang.

“UMPSA telah bertindak pantas melaporkan kepada pihak polis dan tindakan sedang diambil,” katanya pada sidang media sempena Majlis Iftar Mahabbah IPTA KElantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok hari ini.

Beliau berkata kes seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana ia berpotensi mencetuskan konflik lebih mendalam selain turut mengingatkan semua pihak terutama warga institusi pengajian tinggi untuk sentiasa menyuburkan semangat saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian.

“Adalah malang apabila ada kes seperti ini (menghina agama) dilakukan oleh seseorang, baik dalam kalangan pelajar mahupun komuniti universiti.

"Kes-kes khususnya yang melibatkan 3R (agama, institusi diraja dan kaum) tidak boleh kita biarkan berpanjangan. Langkah bersama perlulah dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana bagi memelihara keamanan dan kestabilan negara," katanya.

Pada 25 Februari lepas, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran dan setakat semalam sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah dilapor berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu disambung hingga esok selepas menerima arahan Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lanjut diambil bagi melengkapkan siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS