Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Israel serang Lubnan
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 11:31 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Pesawat perang Israel pada Isnin melancarkan beberapa serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut serta wilayah selatan Tyre dan Nabatieh, di tengah-tengah ketegangan rentas sempadan yang semakin memuncak antara Israel dan Hizbullah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Pesawat perang Israel melancarkan empat serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

Kemudian, agensi itu melaporkan pesawat Israel melancarkan serangan udara kelima di pinggir bandar selatan, ketika kepulan asap kelihatan menjulang ke udara di kawasan berkenaan.

Belum dapat dipastikan sama ada pengeboman itu mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Terdahulu, tentera Israel dalam satu kenyataan mengumumkan pelancaran serangan baharu ke atas Lubnan dengan mendakwa ia menyasarkan lokasi Hizbullah.

Pesawat perang Israel turut menyasarkan bangunan Al-Qard Al-Hasan -- sebuah institusi kewangan bukan berasaskan keuntungan yang mempunyai kaitan dengan Hizbullah -- di bandar Toul, Nabatieh.

Pesawat Israel turut menyasarkan bangunan Al-Qard Al-Hasan di Qana, di daerah pesisir Tyre.

Pesawat perang itu juga mengebom kawasan sekitar Jnah di pinggir bandar selatan Beirut, lapor NNA tanpa memberikan butiran lanjut.

Pada awal Isnin, Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut dan selatan Lubnan, mengorbankan 31 orang serta mencederakan 149 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Serangan udara Israel berterusan sepanjang hari dengan menyasarkan kampung dan bandar di selatan Lubnan serta Beirut.

Hizbullah menyatakan pada awal Isnin bahawa ia menyasarkan satu tapak ketenteraan di utara Israel dengan bedilan roket dan dron secara sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Lubnan serta serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.

Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan berskala besar ke atas Iran sejak Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai kanan tentera.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset AS.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS