Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedutaan AS di Arab Saudi jadi sasaran serangan dron
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 12:10 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Arab Saudi menjadi sasaran serangan dron, menurut Kementerian Pertahanan Arab Saudi pada awal pagi Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, jurucakap kementerian itu berkata kedutaan berkenaan diserang oleh dua dron mengikut anggaran awal.

Serangan itu menyebabkan kebakaran kecil dan kerosakan material ringan pada bangunan berkenaan, dengan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tambahnya.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak susulan serangan ketenteraan bersama AS-Israel ke atas Iran yang dilancarkan pada awal Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai kanan tentera.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset ketenteraan AS di rantau Teluk.

Sementara itu, Kedutaan AS di Riyadh mengeluarkan amaran keselamatan dengan mengumumkan arahan berlindung di tempat masing-masing bagi misinya di Riyadh, Jeddah dan Dhahran.

“Misi AS ke Arab Saudi telah mengeluarkan notis berlindung di tempat masing-masing bagi Jeddah, Riyadh dan Dhahran serta mengehadkan perjalanan tidak penting ke mana-mana pepasangan tentera di rantau ini -- kami mengesyorkan warga Amerika di Arab Saudi supaya berlindung di tempat masing-masing dengan segera,” menurut kenyataan kedutaan yang dimuat naik di platform X.

Kedutaan itu menyatakan ia terus memantau situasi serantau dan menggesa warga AS supaya mengekalkan pelan keselamatan peribadi, mengelakkan demonstrasi dan perhimpunan besar serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

- Bernama - Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS