Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di Jalan Mahkota sudah terlalu biasa dijadikan pilihan penduduk sekitar daerah ini untuk berbuka puasa setiap kali bulan Ramadan.
Bagi mengurangkan beban dan kesesakan di kawasan itu, bermula tahun ini Yayasan Pahang memperkenalkan konsep Iftar Santai di Rumah Pahang yang diadakan dalam kawasan milik mereka.
Terletak di Tanjung Lumpur, kira-kira lima kilometer dari padang MBK1, lokasi itu lebih santai dengan kemudahan letak kenderaan yang banyak disediakan oleh penganjur.
Konsep Iftar Santai di Rumah Pahang itu bermula 23 Feb lalu dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 500 pengunjung setiap hari.
Di samping pelbagai kemudahan disediakan, Yayasan Pahang selaku pemilik utama kawasan berkenaan turut menyediakan air balang dan pek kurma percuma kepada orang ramai yang datang untuk berbuka di situ.

Berbeza dengan tradisi berbuka puasa di Padang MBK1, pengunjung ditawarkan dengan pemandangan menarik – berlatarbelakangkan replika Rumah Pahang dan tasik buatan.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari, ketika ditemui Malaysiakini memberitahu, program berkenaan lebih berkonsepkan santai, namun paling penting ia memberi keselesaan kepada pengunjung.
"Ia lebih kepada memberi ruang untuk ahli keluarga, rakan, saudara-mara dan jiran tetangga berkumpul bagi berbuka puasa bersama dalam suasana selesa.
" Yayasan Pahang menyediakan tujuh jenis air balang dan kurma secara percuma kepada semua pengunjung sepanjang program ini.

"Selain berkumpul untuk berbuka, antara pengisian lain adalah sesi tazkirah disampaikan pelajar dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan ruang solat Maghrib yang selesa," katanya.
Suasana nampak damai
Dia memaklumkan program tersebut akan diadakan sehingga minggu terakhir Ramadan.

Seorang pengunjung, Mohd Arif Saa'dun, 43, berkata konsep diperkenalkan pihak penganjur sangat bagus kerana ia lebih memberi kebebasan kepada mereka.
"Kawasan di sini luas, ada air percuma dan tazkirah sebelum berbuka... nak bawa dan kawal anak-anak pun mudah. Saya harap ia boleh diteruskan untuk tahun akan datang," katanya yang bekerja di Kuantan.
Bagi seorang lagi pengunjung, Nur Fatiha Musa, 27, dia turut berpuas hati dengan lokasi berkenaan kerana ia sangat mesra kanak-kanak.
"Memang sangat menarik dan saya pun datang bersama budak-budak... di sini ada taman dan tidak terlalu bersesak macam tempat lain.

"Saya memang syorkan untuk datang berbuka di sini, pemandangan pun cantik, kemudahan seperti surau, bilik air semua ada, jadi memang memberi kesenangan kepada semua yang datang," katanya.
Muhammad Atiq Rusli, 25, turut berpandangan lokasi pilihan Yayasan Pahang itu lebih sesuai dijadikan pilihan keluarga untuk berbuka puasa.
"Konsep di sini lebih kepada untuk beriadah bersama keluarga kerana kawasannya sangat tenang dan damai. Memang sesuai dan yang lebih utama ialah selesa, tidak ada masalah untuk letak kereta," jelasnya.

Pihak penganjur melalui Kelab Kakitangan Yayasan Pahang juga menyediakan khidmat sewa tikar kepada mereka yang memilih untuk berbuka di lokasi berkenaan tetapi tidak membawa alas yang sesuai.
Dengan sewa serendah RM5, pengunjung tidak perlu bimbang untuk mendapatkan alas duduk yang selesa.
