Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negeri Sembilan anjur Mantai Raya Perdana bermula 18 Mac

Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan Program Mantai Raya Perdana serentak di seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 18 Mac ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata sebanyak 100 kilogram (kg) daging percuma akan diagihkan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan membabitkan 3,600 kg bagi seluruh DUN.

“Kerajaan negeri turut menyediakan subsidi sebanyak 18,000 kg daging yang akan dijual dengan diskaun RM3 sekilo daripada harga jualan dengan setiap individu dihadkan pembelian kepada 2 kg sahaja. Setiap DUN diperuntukkan 500 kg daging bersubsidi,

"Bagaimanapun, jumlah jualan harga daging di mantai perdana itu belum ditetapkan lagi kerana ia bergantung kepada pembekal dan sambutan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban hari ini.

Aminuddin berkata program Mantai Perdana itu akan diuruskan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dengan kerjasama pihak berkaitan di DUN masing-masing, selain turut digabungkan dengan Jualan Rahman dan Jualan Agro MADANI.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menasihati keluarga serta anak Negeri Sembilan yang sedang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah supaya sentiasa peka dan mengikuti rapat arahan serta perkembangan semasa di negara masing-masing.

Beliau berkata aspek keselamatan perlu diberi keutamaan memandangkan situasi pergolakan yang masih berlarutan.

“Kita minta para pelajar dan keluarga supaya sentiasa memantau perkembangan terkini serta mematuhi segala arahan dikeluarkan kerajaan negara tempat mereka berada. Kita dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan keluar dari kediaman kerana keadaan semasa yang terlalu berisiko,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS