Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mereman dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM39,000 pada awal tahun ini.
Sumber SPRM memberitahu, sogokan itu dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing bagi sebuah syarikat yang beroperasi di Kedah.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 50-an itu, katanya, ditahan bersama seorang lagi suspek yang dipercayai orang tengah kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika mereka hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di Alor Setar.
“Bagaimanapun suspek lelaki (orang tengah) tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua pegawai penguat kuasa terbabit bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Jan hingga Feb lalu dengan meminta wang rasuah daripada ejen syarikat tersebut melalui orang tengah,” menurut sumber itu hari ini.
Katanya Kedua-dua mereka disyaki menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 secara transaksi ke akaun bank masing-masing, manakala baki RM35,000 belum diperoleh.
Pengarah SPRM Kedah Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman selama enam hari (hingga 9 Mac) terhadap suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Dia berkata siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.
- Bernama
