Wakil rakyat MIC mati ditembak di Johor
Timbalan Pengerusi MIC Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, S Krishnasamy telah mati ditembak oleh seorang penyerang yang tidak dikenali di ibupejabat MIC Johor petang tadi.
Ketika dihubungi, seorang kakitangannya mengesahkan bahawa Krishnasamy, 61, meninggal sejurus selepas ditembak pada jam 2 petang.
Wakil rakyat selama tiga penggal itu dipercayai ditembak dua kali pada jarak dekat dalam lif di ibupejabat parti itu, ketika Krishnasamy dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat.

Menurut Bernama, Timbalan Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, Krishnasamy ditemui terbaring berlumuran darah oleh Ketua Puteri MIC, R Vithayamohan pada kira-kira jam 2.10 petang.
Mohd Mokhtar juga berkata, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut dan meminta semua pihak supaya jangan membuat sebarang spekulasi.
Krishnasamy, seorang kontraktor, meninggalkan seorang balu, Sornavalli dan empat orang anak.
Beliau juga terpilih sebagai ahli jawatankuasa pusat MIC pada tahun 2000, 2003 dan 2006.
Krishnasamy merupakan ahli politik MIC kedua yang mati ditembak sejak tahun 2000. Pada tahun tersebut, Adun Lunas ketika itu, Dr Joe Fernandez mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali di Bukit Mertajam.
Sementara itu, Adun Kahang (Johor), S Ramis menyifatkan kematian Krishnasamy sbagai satu kehilangan besar kepada parti itu.
"Beliau adalah seorang tegas dan berani yang bekerja keras bagi pengundi di kawasannya dan masyarakat India. Ini adalah satu kehilangan besar. Beliau adalah antara pemimpin yang berpotensi memimpin MIC Johor," katanya.
Samy 'terkejut dan sedih'
Dalam satu kenyataannya, Presiden MIC itu, Datuk Seri S Samy Vellu menyuarakan rasa terperanjat dan sedih dengan kejadian tersebut, yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku.
“Saya ingin menyatakan bahawa MIC telah kehilangan seorang pejuang rakyat. Krishnasamy adalah seorang pemimpin yang dedikasi dan berintegriti," tambahnya.
Samy Vellu berkata, beliau sendiri telah memaklumkan kejadian itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, Abdullah turut menyuarakan rasa 'terperanjat dan sedih' terhadap kejadian tersebut.
Menurut beliau, terserah kepada polis untuk menyiasat perkara tersebut.
Beliau juga menyampaikan ucapan takziah kepada balu Krishnasamy dan keempat-empat anaknya.