Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S Nallakarupan sedia berdebat secara terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sumbangan bekas timbalan perdana menteri itu kepada masyarakat India di negara ini.

"Datuk juga sedia berdebat dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizzah Ismail. Tokoh PKR lain, Datuk tidak mahu layan," kata Timbalan Presiden MIUP, S Arumugam dalam sidang media anjuran MUIP di ibu negara hari ini.

Hadir sama dalam sidang media yang diadakan di rumah Nalla ialah dua Naib Presiden MIUP, P Rajah Krishnasamy dan R Jagathisvaran; Pengerusi Negeri Sembilan G Kannan; Pengerusi Selangor M Arivaalagan dan Pengerusi Wilayah Persekutuan B Rajan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cabaran beberapa pemimpin PKR untuk berdebat dengan Nallakarupan selepas bekas rakan karib Anwar itu mempertikaikan sumbangan penasihat umum PKR itu kepada masyarakat India.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Rabu lalu, Setiausaha Agung PKR Dr Xavier Jeyakumar berkata, partinya sedia berdebat bila-bila masa dengan Nallakarupan.

"Kita sedia bertemu dengan Nalla untuk debat tersebut di mana sahaja.

"Saya juga mencabar Nalla bertanding dalam pilihanraya umum akan datang untuk membuktikan siapa yang kuat," kata Dr Xavier.

'Pemimpin PKR terkejut'

PKR, katanya mengambil keputusan untuk tidak melayan lagi karenah Nalla pada masa akan datang, terutama dalam isu beliau mengecam Anwar mengenai sumbangannya kepada masyarakat India.

"Kami tidak mahu lagi membuang masa melayan Nalla sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada pilihanraya umum. Kita juga mahu tahu siapa yang ada di belakang dia (Nalla)," kata Dr Xavier lagi.

Sebaliknya, Arumugam memberi amaran kepada Dr Xavier: "Jangan mengusik harimau yang sedang tidur."

Menurutnya, pemimpin-pemimpin PKR terkejut dan kecewa kerana Nalla menubuhkan MIUP dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Nalla telah membawa masuk 20,000 orang India ke dalam PKR ketika beliau menyertai parti itu pada 2006.

"Walaupun Nalla memberi banyak sumbangan kepada masyarakat India tetapi beliau tidak mahu publisiti," katanya lagi.

Arumugam berkata, Dr Xavier sebenarnya kecewa dengan populariti Nalla sama ada semasa dalam PKR atau MIUP.

'Kepercayaan masyarakat'

Beliau juga menempelak Dr Xavier dengan berkata: "Siapa dia untuk mencabar Nalla dan MIUP bertanding menentang calon PKR dalam pilihanraya umum akan datang?"

Arumugam berkata, MIUP tidak memerlukan nasihat Dr Xavier yang juga timbalan setiausaha agung "dan kami tidak memberi kebenaran kepadanya untuk menyatakan pendirian MIUP".

"Mungkin anda boleh tanya Dr Xavier berapa banyak pencalonan yang beliau perolehi untuk jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti itu di Seremban April lalu.

"Nalla telah membuktikan beliau seorang pemimpin berkebolehan dan ahli memberi sokongan dan keyakinan kepada beliau untuk jawatan tersebut dan sehingga sekarang masih mendapat kepercayaan masyarakat India," katanya.

Arumugam juga mendakwa, ramai bekas ahli PKR yang meninggalkan parti itu masih bersama MIUP untuk menyokong Nalla.

Katanya, keadaan itu bertentangan dengan dakwaan Dr Xavier bahawa ramai penyokong Nalla telah kembali semula ke pangkuan PKR.

"Mungkin beliau (Dr Xavier) boleh menyenaraikan pengikut Nalla yang meninggalkan MIUP. Tetapi kami percaya mereka tetap bersama Nalla," katanya.