Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpandangan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan kelihatan tidak seimbang walaupun badan induk itu menghormati bidang kuasa tribunal sukan tertinggi dunia berkenaan.
FAM memaklumkan telah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan CAS berhubung rayuan yang difailkan oleh badan induk itu serta tujuh pemain terbabit.
“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun berpandangan bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS.
"FAM akan menilai perkara ini dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh,” demikian menurut kenyataan FAM hari ini.
FAM memaklumkan alasan penuh bagi keputusan berkenaan masih belum dikeluarkan dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu hanya akan dibuat selepas butiran lengkap diperoleh dan diteliti.
Menurut badan induk itu, sepanjang prosiding berkenaan, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyeliaan yang berlaku dalam proses berkaitan kes tersebut.
Pada masa sama, FAM memaklumkan siasatan oleh agensi kerajaan serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih berjalan dan badan induk itu akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa berkaitan.
Sementara itu, FAM turut menyifatkan keputusan terbabit sebagai sesuatu yang mengecewakan khususnya kepada pemain terlibat.
"Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran. Para pemain adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia," menurut kenyataan itu.
Semalam, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap FIFA berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan, Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas FAM berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
- Bernama
