Amerika Syarikat (AS) mungkin mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan ke atas penghantaran minyak tambahan Rusia bagi membantu bekalan global yang berdepan kekurangan sementara, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent memberitahu Fox News pada Jumaat, menurut Anadolu Ajansı (AA).
Kenyataan itu susulan keputusan AS membenarkan pengecualian sementara 30 hari untuk syarikat minyak India membeli minyak tambahan Rusia dalam usaha menstabilkan bekalan global.
Bessent berkata Jabatan Perbendaharaan sedang meneliti sama ada minyak mentah Rusia berkenaan boleh dibawa ke pasaran.
“Kami mungkin tidak memberi kebenaran kepada minyak Rusia yang lain," katanya.

"Terdapat ratusan juta tong minyak mentah disekat di laut...dengan menarik balik sekatan, Perbendaharaan boleh mendapatkan bekalan.
Beliau menambah pentadbiran Trump merancang untuk terus mengumumkan langkah-langkah yang bertujuan mengurangkan tekanan ke atas pasaran tenaga global.
Kenyataan Bessent hadir ketika ketegangan di Timur Tengah memuncak yang telah mengganggu penghantaran melalui Selat Hormuz, koridor penting bagi perdagangan tenaga global.
Trafik menerusi laluan air itu menjadi perlahan selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran serta serangan balas Tehran, menyebabkan kenaikan harga minyak dan kebimbangan mengenai bekalan.
- Bernama-Anadolu
