Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii menggesa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bersama penyokongnya supaya kembali menyertai Umno, tanpa perlu menubuhkan parti politik baru.
Menurut Razlan, langkah menubuhkan parti baru susulan kemelut dalaman Bersatu hanya akan menambah lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
"Bagi pandangan saya, Hamzah and the gang masuk sahajalah Umno. Bawa sahajalah rakan-rakan yang berada (dalam) Bersatu di sana yang tidak mahu lagi kepada Bersatu ini, bawa mereka masuk ke Umno.
"Kalau kita wujudkan satu lagi entiti Melayu di dalam parti yang lain saya percaya perkara ini tidak akan menyatukan Melayu, ini tidak akan terjadi...jadi objektif untuk kita membuka Rumah Bangsa ini adalah untuk mengajak seberapa ramai pun di dalam (Bersatu) di luar sana untuk masuk di bawah payung Umno.

"Bukan hanya Hamzah and the gang ada banyak lagi parti-parti kecil-kecil di luar sana itu bubarlah parti itu masuk Umno balik apa masalah," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Umno Seputeh di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Razlan itu muncul ketika spekulasi terus berlegar mengenai langkah politik Hamzah selepas dipecat daripada Bersatu.
Pada 3 Mac lalu, Hamzah yang juga ahli parlimen Larut mengesahkan wujud perbincangan mengenai kemungkinan mengambil alih sebuah entiti politik yang dilaporkan Parti Keluarga Malaysia, sambil menjelaskan rundingan tersebut masih berada pada peringkat teknikal.
“Berbincang dengan mereka bagaimana kalau kami ambil-alih parti tersebut. Ada perbincangan,” katanya ketika diminta mengesahkan laporan Berita Harian yang memetik pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya.

Khairi dilaporkan mendakwa pengambilalihan itu “hampir 90 peratus pasti” berdasarkan perbincangan terkini dengan Hamzah dan ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Bagaimanapun, Hamzah tidak memberikan kata putus mengenai perkara itu.
“Ia melibatkan banyak perkara lain, jadi kita sedang berbincang,” tambahnya.
Sementara itu, Razlan berkata bukan sesuatu yang luar biasa dalam sejarah politik Umno untuk bekas pemimpinnya kembali menyertai parti itu.

Dia memberi contoh Parti Semangat 46 yang pernah ditubuhkan susulan krisis dalaman Umno, sebelum akhirnya dibubarkan dan pemimpinnya kembali menyertai parti tersebut.
Ketika ditanya mengenai peluang bekas pemimpin Umno yang pernah digantung atau dipecat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16, Razlan berpandangan mereka wajar diberi peluang jika layak.
Razlan yang juga setiausaha politik kepada Ahmad Zahid Hamidi berkata parti tidak mempunyai masalah untuk memberi ruang kepada mereka yang mampu membawa cabaran Umno-BN.
"Saya percaya mereka akan dapat peluang untuk berkhidmat di dalam parti Umno ini. Untuk bertanding saya rasa itu pun tidak ada masalah bagi pandangan saya, sudah tentulah kita akan memberi ruang.
"Tetapi itu semua akan dibawa kepada perbincangan bagaimana caranya nantilah dan ini adalah perkara biasa di dalam parti," katanya lagi.
