Bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menegaskan dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk meninggalkan PAS demi menyertai semula Umno melalui inisiatif Rumah Bangsa Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Katanya, pelawaan terbuka kepada ahli yang dipecat atau digantung itu sebagai satu pengakuan tidak langsung bahawa Umno masih belum cukup "perkasa" dan hanyalah jenama baru dengan isi dan tuannya adalah sama.

"Saya menilai secara jujur di mana dan ke mana Umno nak dibawa. Saya cuba meramal masa depan perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia.
"Satu-satunya parti yang memperjuangkan siasah, dakwah, dan tarbiyah serta kukuh dasarnya pada Islam adalah PAS. Saya reda untuk berjuang bersamanya.
“Hari ini setelah lebih 40 tahun dalam Umno dan lebih tiga tahun dalam PAS, dapatlah saya tegaskan tidak ada satu sebab pun untuk saya meninggalkan jemaah ini," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurut bekas pemimpin Umno yang kini bersama PAS itu, dia sudah pun berada dalam ‘Rumah Agama’, ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Rumah Negara’ atau apa saja nama diberikan.
“Apa pun saya hargai ajakan terbuka kepada mangsa pemecatan dan penggantungan kononnya untuk memperkasa parti.
“Ternyata belum cukup perkasa rupanya. Insya-Allah, kita masing-masing punya landasan dalam berjuang. Buatlah pilihan.
“Bagi saya yang penting adalah keredaan Allah dan jalan yang betul,” katanya.
Annuar turut mengimbau layanan yang diterimanya daripada pimpinan Umno selepas 45 tahun menabur bakti, termasuk peranannya sebagai antara pengasas yang menghidupkan semula parti itu selepas diharamkan dahulu.
Menurutnya, dia tidak pernah meninggalkan Umno bahkan tetap istiqamah ingin melihat parti itu memimpin penyatuan orang Melayu dan Islam.
“Malangnya, Umno memilih PH (Pakatan Harapan) dan DAP. Saya dibuang tanpa tunjuk sebab, tanpa notis, tanpa peluang mengetahui apa salah saya, tanpa proses membela diri.
“Itu balasan pimpinan Umno terhadap perjuangan saya 45 tahun dalam Umno dan sebagai pangasas penaja menghidupkan Umno selepas diharamkan dengan nombor ahli 0000000124,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penjenamaan Rumah Bangsa oleh Umno, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan ia sekadar "kosmetik" kerana pengemudi dan dasar parti itu masih tidak berubah.
"Rumah Bangsa jenama baru, tetapi isinya tetap sama. Tuan punya rumah pun tuan yang sama,” katanya.
Akur peranan kecil dalam PAS
Walaupun tidak lagi memegang jawatan tinggi atau menjadi wakil rakyat seperti zamannya dalam Umno, Annuar menyatakan rasa syukur kerana masih diberi ruang untuk menyumbang dalam PAS.
“Saya bersyukur walau peranan saya kecil saja. Saya tidak wakil rakyat, saya tidak memimpin cawangan, atau kawasan, atau dalam saf pegawai tinggi parti saperti semasa dalam Umno.
“Tetapi itusudah lebih dari mencukupi untuk saya menumpang berjuang demi Islam dan orang Melayu serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Annuar berkata, dia turut bangga dengan pencapaian PAS yang kini menjadi parti terbesar di Parlimen dengan penguasaan di beberapa buah negeri.
"Bagi saya yang penting adalah keredaan Allah dan jalan yang betul.
“Kita masing-masing punya landasan dalam berjuang, maka buatlah pilihan," tambahnya lagi sambil mengucapkan selamat beribadat di bulan Ramadan.
Pada 6 Mac lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian serta individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai semula Umno.
Katanya, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar Umno.
