Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih tuntut penjelasan lepas ‘polis buat lawatan mengejut'
Diterbitkan:  Mar 9, 2026 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih menuntut penjelasan daripada pihak polis selepas dua individu yang mengaku sebagai anggota polis mengunjungi pejabat mereka pagi ini dan bertanya tentang keberadaan pimpinan kumpulan itu.

Bersih memaklumkan dua individu tersebut datang ke pejabat mereka di Petaling Jaya, Selangor kira-kira jam 11.30 pagi, namun pejabat berkenaan ketika itu ditutup.

Dua individu yang berpakaian biasa itu kemudian dikatakan pergi ke sebuah pejabat berhampiran yang menempatkan sebuah NGO lain, sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mula bertanya tentang Bersih.

“Pihak Sekretariat Bersih mendapat maklumat daripada rakan NGO bahawa terdapat dua orang yang mengaku sebagai anggota polis telah datang ke Pejabat Bersih sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

"Mereka telah bercakap dengan rakan NGO tersebut bagi mengetahui keberadaan kami. Setakat maklumat yang diterima, tiada tujuan dimaklumkan dan pihak kami juga tidak dihubungi secara rasmi oleh pihak polis untuk apa-apa siasatan.

"Seandainya dua orang tersebut adalah daripada anggota polis, kami menggesa pihak PDRM untuk mengesahkan 'lawatan' anggota tersebut dan memberi pemakluman secara rasmi kepada Bersih," kata gabungan NGO itu pada satu kenyataan.

Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat polis Bukit Aman serta polis daerah Petaling Jaya untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS