Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa lagi berita baik untuk rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata pagi tadi, Perdana Menteri telah mengumumkan tujuh langkah intervensi segera kerajaan MADANI bagi meringankan beban rakyat menjelang Syawal.
Antara langkah diumumkan ialah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula esok, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, peluasan siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara serta peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.
“Kerajaan MADANI akan terus berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan.
“Insya-Allah, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya pada taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Tunku Nashrul berkata PMO berharap segala bantuan, ikhtiar serta langkah diumumkan itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
- Bernama
