Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perang Asia Barat memuncak: Tel Aviv dihujani peluru berpandu Iran
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Konflik di Asia Barat memasuki fasa semakin meruncing apabila lebih 10 letupan kuat dilaporkan menggegar Tel Aviv, Israel pada Isnin, susulan serangan peluru berpandu besar-besaran yang dilancarkan oleh Iran.

Letupan-letupan itu dilaporkan berlaku ketika sistem pertahanan negara tersebut cuba memintas peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran.

Menurut laporan agensi berita AFP, serangan tersebut dikesan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang memaksa jutaan penduduk di wilayah utara dan selatan negara itu melarikan diri ke kubu perlindungan bawah tanah.

Pihak IDF dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sistem pertahanan udara mereka telah diaktifkan bagi memintas ancaman peluru berpandu balistik yang ditujukan ke kawasan penempatan dan strategik.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke wilayah Israel.

“Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” menurut kenyataan tentera Israel itu.

Fasiliti rahsia Israel terjejas

Laporan awal mendapati berlaku kemusnahan besar di pusat bandar Tel Aviv selepas sebuah peluru berpandu Iran didakwa berjaya menembusi sistem pertahanan dan mengenai sebuah kubu bawah tanah rahsia.

Fasiliti tersebut dipercayai merupakan pusat arahan yang digunakan oleh pemimpin tertinggi Israel ketika waktu kecemasan. Kesan hentaman kuat itu dikatakan mencetuskan kebakaran marak yang memusnahkan kenderaan serta infrastruktur di kawasan sekitar.

Meskipun Israel bergantung kepada sistem pertahanan Iron Dome — teknologi pemintas jarak dekat yang direka untuk memusnahkan roket sebelum memasuki ruang udara awam — serangan kali ini dilaporkan telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

Angka korban, kecederaan meningkat

AFP turut melaporkan perkhidmatan ambulans Magen David Adom mengesahkan seorang pekerja di tapak pembinaan maut, manakala seorang lagi mangsa kini berada dalam keadaan kritikal.

Di Tel Aviv, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dilaporkan cedera parah akibat serpihan peluru berpandu. Selain itu, penggunaan bom kluster dalam serangan tersebut turut dikesan, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam individu cedera parah.

Bom kluster merupakan senjata yang diharamkan oleh kebanyakan konvensyen antarabangsa kerana keupayaannya menyebarkan sub-munisi kecil yang memberikan ancaman jangka panjang kepada orang awam.

Krisis tenaga

Serangan Teheran ini dipercayai merupakan tindak balas selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran di tengah Iran awal Isnin lalu. Serangan Israel sebelum ini menyasarkan pusat arahan keselamatan, tapak pengeluaran enjin roket, dan kemudahan milik Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Isfahan.

Ketegangan ini adalah gelombang serangan pertama sejak pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan gabungan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada akhir Februari lalu.

Dunia kini turut berdepan krisis tenaga apabila Iran dilaporkan melancarkan serangan ke atas kemudahan petroleum di Bahrain, termasuk kompleks Al Ma'ameer.

Firma tenaga Bahrain, Bapco, telah mengisytiharkan force majeure (keadaan luar kawalan) susulan kerosakan tersebut, langkah yang turut diambil oleh pengeluar tenaga di Qatar dan Kuwait.

Campur tangan AS

Pada Isnin, Bahrain turut melaporkan satu lagi serangan dron Iran ke atas Pulau Sitra sehingga mencederakan 32 orang.

Menurut kenyataan daripada kementerian kesihatan yang disiarkan oleh agensi berita negara itu, semua yang cedera adalah warganegara Bahrain dan terdapat empat kes teruk, termasuk kanak-kanak.

Antara yang cedera ialah seorang gadis berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan teruk di kepala dan mata, serta seorang bayi berusia dua bulan, menurut kementerian.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menerusi temu bual bersama Fox News mendakwa tentera AS telah mengambil tindakan drastik bagi melumpuhkan aset ketenteraan Iran.

“Kami telah menenggelamkan semua kapal Iran dan memusnahkan kebanyakan platform pelancaran peluru berpandu, dengan hanya kira-kira 20 peratus sahaja yang masih tinggal,” dakwa Trump.

Sehingga kini, situasi di Asia Barat kekal tidak menentu dengan kebimbangan bahawa konflik ini akan mencetuskan perang skala penuh yang melibatkan lebih banyak kuasa besar dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS