Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Harga RON95 kekal RM1.99 sen seliter walaupun dalam situasi sukar'

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga minyak RON95 pada kadar RM1.99 sen seliter walaupun dunia berdepan dengan krisis di Asia Barat yang membawa kepada ketidaktentuan ekonomi.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan satu langkah sukar, namun kerajaan berbuat demikian untuk mengekalkan kadar harga bagi menjaga kebajikan rakyat.

"Saya telah maklum untuk menetapkan harga Budi 95 untuk rakyat, satu keputusan sukar tapi akan dikekalkan pada RM1.99 sen walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.

"Harga sebenar jauh lebih tinggi apatah lagi kalau dibandingkan harga dengan negara jiran tiga kali ganda (lebih tinggi)," katanya dalam sidang media khas perkembangan mutakhir konflik di Asia Barat hari ini. di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain... sebab itu, saya selalu tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan yang cekap serta amanah dan profesional... kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

“… sebab itu, saya telah maklumkan kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan harga Budi95 untuk rakyat... ini keputusan yang sukar tetapi akan dikekalkan RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi dan harga sebenar jauh lebih tinggi... apa lagi kalau dibandingkan dengan harga di negara-negara jiran, tiga kali ganda,” katanya lagi.

Menurut Anwar, susulan konflik di Asia Barat serta gangguan bekalan minyak dari Selat Hormuz, dianggarkan lebih 400 kapal tangki telah terkandas dan harga minyak Brent mencecah ASD119 bagi setiap tong pada 9 Mac lepas.

“Walaupun harga minyak kini di bawah paras ASD90, ia masih tidak menentu dan menyebabkan peningkatan harga pasaran minyak petrol dan diesel yang mendadak,” katanya.

Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, perdana menteri berkata dia telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Anwar berkata dia memahami kerisauan rakyat dan memberi jaminan bahawa situasi masih terkawal.

Menurutnya kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.

“Sepertimana yang kita tahu, kita telah lalui ujian dan kemelut sebelum ini dan saya yakin, insya-Allah sikap lebih bertanggungjawab dengan kerjasama semua pihak, pimpinan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat jelata kita dapat menangani permasalahan ini dengan baik.

“Semoga Allah SWT merestui usaha kita dan memelihara negara kita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS