Himpunan rakyat aman Malaysia akan diadakan sebagai membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di hadapan bangunan KLCC, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 26 Januari depan.

Himpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) dijadual bermula jam 3 petang.

Sebelum itu, satu ceramah umum anjuran Protes akan diadakan pada jam 8 malam 20 Januari depan bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH).

Setiausaha Protes, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, Protes - yang dianggotai beberapa parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sangat memandang serius suasana inflasi di negara ini.

Katanya, keadaan inflasi yang tidak terkawal itu, menurutnya sedang menekan kehidupan rakyat jelata, khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

"Kenaikan bayaran tol di beberapa lebuhraya, kenaikan harga barangan keperluan harian, kenaikan tarif bekalan elektrik dan air, kesemuanya menambah berat beban hidup rakyat yang semakin terhimpit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ceramah umum

Dr Mohd Hatta mendakwa, semua itu berlaku akibat gaya pentadbiran negara yang boros, korup dan "sentiasa mengorbankan kepentingan rakyat".

Oleh itu, katanya, Protes tidak menolak kemungkinan besar kenaikan harga bahan bakar dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, Protes memandang semua kenaikan ini sebagai manifestasi kegagalan kerajaan menjalankan pentadbiran secara berkesan.

Keadaan itu, katanya, telah mengakibatkan rakyat terus disajikan dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial dari masa ke semasa.

Berikutaan itu, katanya, Protes akan menganjurkan ceramah umum pada 20 Januari depan di SCAH dan perhimpunan aman rakyat di depan bangunan KLCC pada 26 Januari ini.

"Protes menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar turut serta menjayakan ceramah umum dan perhimpunan aman rakyat itu," katanya lagi.