Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kuil Hindu: Charles saran menteri letak jawatan jika...
Diterbitkan:  Mar 12, 2026 7:45 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

Bekas ahli Parlimen DAP, Charles Santiago, menggesa menteri-menteri yang melahirkan kebimbangan terhadap isu kuil Hindu yang gagal ditangani dengan tuntas untuk mempertimbangkan secara serius kedudukan mereka dalam kabinet.

"Pada masa ini, kerajaan kelihatan tidak bersedia untuk mendengar dengan cara yang benar-benar bermakna, dan kenyataan yang dibuat oleh para menteri ini berisiko mengukuhkan persepsi bahawa mereka mempunyai pengaruh yang sangat terhad dalam kabinet,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata Charles, jika dalam tempoh seminggu mendatang tiada apa-apa yang konkrit muncul dari aspek keputusan atau hala tuju dasar yang jelas, menteri terbabit sepatutnya mempertimbangkan secara serius sama ada mereka ada fungsi dalam kabinet atau sebaliknya.

Dia yang pernah mewakili kawasan parlimen Klang berkata, peletakan jawatan akan menjadi isyarat yang kuat bahawa kebimbangan masyarakat tidak boleh sekadar dicatat dan kemudian diabaikan.

Kenyataan Charles itu menyusul selepas Menteri Digital dan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap mereka yang dituduh mencemarkan simbol suci Hindu selepas kabinet membincangkan isu itu semalam.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia R Ramanan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berjanji untuk membangkitkan kebimbangan mengenai provokasi kaum dan agama semasa mesyuarat kabinet.

Ramanan juga memberi amaran tentang kumpulan kecil yang didakwa dibayar untuk menghasut ketegangan kaum.

"Mereka adalah ejen provokator. Sekarang kita mesti menentukan siapa yang membayar mereka," katanya.

Tambah Charles kerajaan masih belum menunjukkan pendirian yang jelas dan tegas dalam isu yang menyebabkan keresahan mendalam dalam masyarakat India.

Katanya kerajaan juga mesti menyedari bahawa undi kaum India adalah penting.

“Komuniti India mungkin lebih kecil dari segi jumlah, tetapi secara sejarahnya ia telah memainkan peranan penentu di banyak kawasan pilihan raya yang margin kemenangan adalah tipis.

“Apabila sesebuah komuniti berulang kali merasakan kebimbangan budaya dan agamanya diketepikan, ia pasti akan membentuk kepercayaan politik dan tingkah laku mengundi.

“Mengabaikan kenyataan ini adalah satu tindakan yang memperlekehkan dan berpandangan pendek dari segi politik,” tegasnya.

Charles turut mengingatkan kesan politik akibat mengabaikan kebimbangan kaum India dengan mengambil contoh bagaimana pergerakan Hindraf mencetuskan peralihan besar undi daripada BN dan MIC semasa PRU 2008.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Khalid Ismail untuk menjelaskan tindakan yang dilihatnya tidak diambil terhadap aktivis yang menggelarkan dirinya sebagai Tamim Dahri Abdul Razak.

Tamim Dahri didakwa menghina simbol agama Hindu di kuil Shree Muniswarar Alayam Langkawi.

Tamim Dahri bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa dia dalam satu video yang dirakam hanya memijak "besi buruk berkarat di kawasan pembersihan tanah yang tidak didiami," dan menegaskan ia "bukan tempat ibadat."

Bagaimanapun, aktivis komuniti Umagandhan Krishnan menyangkal penjelasan tersebut dengan menyatakan kewujudan papan tanda besar yang jelas menunjukkan kawasan itu sebagai tanah kuil.

Sebelum ini, pelajar universiti S Vikneswaran telah dituduh menghina al-Quran manakala pihak berkuasa juga sedang menyiasat satu lagi insiden serupa di Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS