Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng yakin DAP terus desak tubuh RCI siasat 'mafia korporat'

Penasihat DAP, Lim Guan Eng, yakin pemimpin tertinggi parti itu akan terus mendesak kerajaan agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan "mafia korporat".

Bercakap kepada Malaysiakini, Lim berkata, dia percaya Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, dan setiausaha agung parti itu, Anthony Loke, yang kedua-duanya ahli kabinet, tidak akan berhenti membangkitkan perkara itu.

“Seperti yang dikatakan, saya percaya Gobind dan Loke masih mendesak agar RCI ditubuhkan. Tetapi untuk membolehkan RCI ditubuhkan, anda mesti mendapatkan persetujuan semua ahli kabinet.

“Jadi (sekarang ini) ia bukan kabinet DAP. Ia adalah kabinet kerajaan perpaduan.

“Sebab itu anda juga mesti memujuk ahli kabinet yang lain untuk bersetuju, termasuk - sudah tentu – perdana menteri sendiri,” katanya.

Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memberitahu media bahawa kabinet telah mengarahkan pelbagai pihak termasuk polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menyiasat dakwaan kewujudan "mafia korporat" dan mencari kelemahan yang membolehkan "manipulasi korporat".

"Mafia korporat" merujuk kepada dakwaan bahawa SPRM berpakat dengan individu tertentu untuk menggugat pesaing perniagaan.

Keputusan kabinet itu dibuat walaupun terdapat banyak desakan agar Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Berkenaan siasatan pelbagai agensi yang dipersetujui kerajaan, Lim percaya adalah "tidak wajar" untuk SPRM terlibat kerana agensi antirasuah itu sendiri terlibat secara langsung dalam dakwaan tersebut.

Malaysiakini juga telah menghubungi pihak Loke dan Gobind untuk mendapatkan komen.

Pada 27 Feb lalu Fahmi berkata kabinet telah bersetuju untuk mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan terhadap SPRM dan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Loke memberitahu dia akan mencadangkan penubuhan RCI dalam mesyuarat kabinet.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga sudah menyarankan agar RCI ditubuhkan bagi meneliti isu tersebut dan kerajaan tidak boleh bergantung pada pasukan petugas khas yang mungkin kekurangan kuasa yang jelas.

Di tengah desakan yang semakin meningkat itu SPRM pada 24 Feb pula mengeluarkan penafian tegas kedua dan menganggap dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

Azam juga telah memfailkan saman RM100 juta terhadap Bloomberg yang mula-mula melaporkan dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS