Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dalam politik, ada dua jenis pemimpin. Pertama, yang membina legitimasi melalui pengalaman, rekod pentadbiran dan pencapaian; dan kedua, yang cuba melonjak naik melalui bayang-bayang patron politik.

Polemik terbuka di antara Muhyiddin Yassin dan Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai siapakah calon perdana menteri bagi PN mendedahkan satu hakikat yang sukar dinafikan — politik pembangkang kini terperangkap dalam krisis kepimpinan yang serius.

Pertelingkahan ini bermula apabila Muhyiddin menyatakan bahawa tiada sebarang ketetapan rasmi yang Ahmad Samsuri adalah calon perdana menteri. Yang dipersetujui, katanya, ialah Menteri Besar Terengganu itu menjadi Pengerusi PN.

Kenyataan itu sepatutnya cukup jelas sebagai isyarat bahawa soal kepimpinan tertinggi PN masih belum diputuskan.

Namun respons Ahmad Samsuri yang pantas menegaskan bahawa Muhyiddin tidak lagi dinamakan sebagai calon perdana menteri menimbulkan persoalan lebih besar: apakah ia sekadar reaksi defensif, atau manifestasi seorang pemimpin yang terlalu awal melihat dirinya berada di Putrajaya?

Dalam tradisi politik yang matang, persoalan kepimpinan tidak ditentukan oleh retorik atau kenyataan balas di media. Ia dibina melalui perjalanan panjang dalam pentadbiran negara, penguasaan dasar, dan rekod yang terbukti.

Dalam konteks ini, perbandingan di antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri sebenarnya sangat tempang.

Muhyiddin – dengan segala kontroversinya – tetap memiliki pengalaman pentadbiran yang luas. Dia meripakan ‘otai politik’ dan pernah menjadi Menteri Besar Johor, memegang pelbagai portfolio kementerian penting, menjadi timbalan perdana menteri, dan akhirnya perdana menteri.

Tiada lonjakan membanggakan

Laluan politiknya panjang dan penuh liku, tetapi ia membentuk satu profil kepimpinan yang sekurang-kurangnya bersandar kepada pengalaman sebenar dalam mentadbir negara.

Sebaliknya, perjalanan politik Ahmad Samsuri jauh lebih sempit. Kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu sejak 2018 tidak disertai dengan rekod transformasi ekonomi negeri yang meyakinkan.

Malah, jika diteliti secara objektif, Terengganu di bawah kepimpinan Naib Presiden PAS itu masih terperangkap dalam struktur ekonomi lama yang bergantung kepada sumber petroleum dan peruntukan kerajaan pusat.

Data fiskal negeri menunjukkan bahawa kebergantungan Terengganu kepada dana persekutuan semakin meningkat setiap tahun. Hasil negeri sendiri tidak berkembang secara signifikan.

Pelaburan langsung asing yang benar-benar berimpak juga tidak memperlihatkan lonjakan yang boleh dibanggakan.

Dalam bahasa mudah, naratif “kejayaan pentadbiran” yang sering digembar-gemburkan sebenarnya tidak disokong oleh indikator ekonomi yang kukuh.

Ia membawa kepada persoalan yang lebih mendasar: apakah pencapaian besar Ahmad Samsuri sebagai menteri besar yang boleh dijadikan bukti kelayakannya sebagai calon perdana menteri?

Jika negeri yang dipimpinnya sendiri belum menunjukkan transformasi ekonomi yang signifikan, bagaimana dia boleh diyakini untuk mengurus ekonomi negara yang jauh lebih kompleks?

Di sinilah letaknya paradoks politik yang sedang berlaku. Ahmad Samsuri kini dipromosikan sebagai poster boy PN oleh sekurang-kurangnya Pemuda PAS.

Namun hakikatnya, populariti yang dibina melalui naratif parti tidak semestinya selari dengan realiti prestasi pentadbiran.

Lebih menarik lagi, reputasi akademik dan profesional Ahmad Samsuri sebelum memasuki politik juga tidak menunjukkan kecemerlangan luar biasa yang sering cuba digambarkan oleh penyokongnya.

Terlalu cepat nak melonjak

Dalam dunia akademik, ukuran prestasi biasanya jelas — penyelidikan, penerbitan, sumbangan kepada ilmu, dan reputasi antarabangsa. Namun rekod tersebut tidak memperlihatkan keunggulan yang boleh dianggap luar biasa.

Ini bukan untuk menafikan kelayakan Ahmad Samsuri sebagai seorang teknokrat atau profesional, tetapi untuk menegaskan bahawa naratif “tokoh hebat yang menunggu masa menjadi perdana menteri” sebenarnya lebih banyak dibina melalui propaganda politik berbanding fakta yang boleh diuji.

Sekiranya benar dia merupakan tokoh perdana menteri masa hadapan, percayalah masa hadapan negara akan lebih gelap dan malap!

Apa yang berlaku hari ini dalam PN sebenarnya mencerminkan krisis struktur kepimpinan yang lebih mendalam. Selepas era Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Muhyiddin, parti-parti PN masih gagal melahirkan generasi pemimpin nasional yang benar-benar memiliki graviti politik.

Sebahagian pemimpin muda pula kelihatan terlalu cepat ingin melonjak ke puncak tanpa terlebih dahulu membina rekod yang meyakinkan.

Dalam politik, gelojoh sering menjadi tanda kelemahan, bukan kekuatan.

Lebih ironi lagi, perbalahan terbuka di Muhyiddin dan Ahmad Samsuri berlaku ketika PN masih bergelut untuk membina kredibiliti sebagai alternatif kerajaan.

Rakyat yang memerhati tidak melihat persaingan idea atau visi negara. Sebaliknya, yang kelihatan hanyalah perebutan simbolik mengenai siapa yang lebih layak menduduki kerusi perdana menteri yang bahkan belum pasti berada dalam jangkauan mereka.

Politik seperti ini bukan sahaja melemahkan imej pembangkang, tetapi menonjolkan satu hipokrasi yang sukar disembunyikan.

Ketika mereka sering mengkritik kerajaan kononnya berebut kuasa, realitinya mereka sendiri sedang bertarung untuk sesuatu yang masih berupa bayang-bayang.

Perlu bukti keupayaan sebenar

Ahmad Samsuri mungkin dilihat sebagai anak emas kepada Abdul Hadi Awang.

Cuma dalam politik nasional, restu seorang presiden parti sahaja tidak cukup untuk membina legitimasi sebagai pemimpin negara. Legitimasi itu datang daripada rekod pentadbiran, kemampuan memimpin ekonomi, serta keupayaan membina keyakinan rakyat.

Setakat ini, rekod tersebut masih belum kelihatan.

Jika Ahmad Samsuri benar-benar ingin dilihat sebagai calon perdana menteri yang serius, langkah pertama bukanlah membalas kenyataan Muhyiddin melalui media.

Sebaliknya, dia beliau perlu membuktikan keupayaan sebenar melalui pentadbiran negeri yang cemerlang — menarik pelaburan berkualiti, mengurangkan kebergantungan fiskal kepada pusat, dan membina ekonomi negeri yang dinamik.

Tanpa pencapaian tersebut, naratif bahawa dia layak menjadi perdana menteri akan kekal sebagai retorik politik yang kosong.

Di mana pula kedudukan Hamzah Zainudin yang telah menundukkan dirinya untuk walak kepada PAS?

Adakah Hamzah akan dipermainkan dan 'end game’ kepada cita-cita politiknya hatta melalui Parti Keluarga Malaysia, yang terang-terang ditolak oleh Muhyiddin dan Bersatu daripada menyertai PN.

Dalam politik Malaysia yang semakin matang, retorik kosong semakin sukar untuk menipu realiti.


SHAH NOR BASRI ialah felo utama Akademi Sains Islam, Jordan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS