Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy cuma mahu jadi anak kapal biasa di bahtera Umno
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 3:23 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Khairy Jamaluddin tidak meletakkan sebarang syarat untuk kembali ke pangkuan Umno, sebaliknya hanya mahu menjadi "anak kapal biasa" kepada "bahtera bangsa" itu.

Dia yang telah menyerahkan surat rayuan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berharap agar nombor keahliannya sebelum ini dalam parti itu dikekalkan.

"Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.

"Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

"Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Khairy telah mengemukakan rayuan untuk menyertai semula Umno, tiga tahun selepas dia dipecat daripada parti itu.

Permohonan tersebut diserahkan malam semalam kepada Zahid — individu yang menyingkirkan Khairy yang sedang berusaha mencabar jawatan presiden bagi menguasai parti itu pada awal 2023.

Zahid mengumumkan langkah perdamaian itu menerusi hantaran di media sosial hari ini, dengan presiden parti itu kelihatan tersenyum riang menerusi foto yang dikongsikan.

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.

“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sementara itu Khairy berkata, ketika politik negara berdepan ketidaktentuan, adalah sangat penting untuk Umno terus diperkukuhkan.

"Di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa - Umno - yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata selain Khairy, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein juga telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama Umno.

“Moga-moga Allah memberkati Umno sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan Negara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS